Filem duka lara, 'Kuch Kuch Hota Hai' sudah dua dekad
Israr Khalid
Oktober 16, 2018 15:01 MYT
Oktober 16, 2018 15:01 MYT
‘SESUATU terjadi’ 20 tahun lepas, di mana percintaan tiga anak muda, Rahul, Anjali dan Tina menjadi cerita yang diraikan dan ditangisi oleh setiap khalayak yang mengetahuinya.
Cerita cinta tiga segi mereka bukan sahaja masyhur di India, malah di United Kingdom dan juga seluruh dunia termasuk Malaysia.
Dan kisahnya terus diceritakan sehingga hari ini.
Semuanya berlaku pada 1998, di mana Karan Johar tidak menyangka filem pertama arahannya ‘Kuch Kuch Hota Hai’ (yang bermaksud ‘Sesuatu Terjadi’) menjadi antara filem paling diingati yang pernah dihasilkan oleh Bollywood, dan 16 Oktober menandakan genap dua dekad kisah cinta penuh suka duka ini ditayangkan di layar perak.
Kerana filem ini, nama Shah Rukh Khan menjadi pujaan hati setiap wanita yang melihatnya memegang peranan sebagai Rahul Khanna, yang jatuh cinta pada pelajar baharu di kolejnya bernama Tina. Namun tanpa sedar, Anjali Sharma yang dilakonkan oleh Kajol menaruh hati terhadap Rahul sepanjang persahabatan erat mereka lama sebelum kehadiran Tina.
Menghormati perhubungan Rahul dan Tina, Anjali kemudian lari membawa diri pulang ke kampung dan menjadi cikgu di sebuah kem musim panas. Dipendekkan cerita, anak Rahul dan Tina yang juga bernama Anjali Khanna menyertai kem musim panas itu.
Bermulalah konflik perasaan apabila Rahul dan Anjali dipertemukan kembali selepas sekian lama terpisah. Rahul telah menyedari cinta Anjali terhadapnya tetapi Anjali ketika itu sedang bersiap untuk melangsungkan perkahwinan dengan Aman Mehra lakonan Salman Khan.
Walaupun filem pertama, Karan Johar tidak menunggu lama untuk menampilkan hasil kerja yang terbaik, apabila penggambaran dilakukan di pelbagai negara termasuk Mauritius dan Scotland, selain keupayaannya membariskan pelakon-pelakon hebat dan yang sedang meningkat naik.
Dengan bajet pembikinan hanya US$1.4 juta, ia menjadi filem Bollywood yang mencatat kutipan paling tinggi di seluruh dunia bagi tahun 1998, dan filem ketiga paling tinggi kutipan dalam sejarah perfileman India dengan US$14 juta.
‘Kuch Kuch Hota Hai’ menjadi antara filem terawal yang mengetengahkan kisah cinta tiga segi era moden dan konsep ‘friendzone’ yang mana generasi muda hari ini pun masih boleh kaitkan dengan kehidupan mereka.
Tatkala menonton filem ini, pasti ada yang terkenang kisah cinta masing-masing ketika di sekolah menengah atau ‘high school’ dahulu.
Ramailah juga yang mengenakan baju panas atau ‘sweater’ berjenama GAP dan Polo Sport yang dipakai Rahul, gadis-gadis tomboy pula memotong rambut pendek dan memakai skarf seperti Anjali. Impaknya cukup hebat dan luas.
‘Kuch Kuch Hota Hai’ juga menjadi filem Hindustan pertama yang saya tonton. Masih ingat lagi, empat keping cakera padat semuanya. Cerita yang paling panjang pernah saya tonton ketika itu.
Kerana filem itu juga, saya jatuh hati kepada filem-filem Hindustan sehingga hari ini, kerana pesona gambarnya yang penuh warna, irama lagu yang mengasyikkan dan gaya Shah Rukh Khan yang cukup memukau.
Kehebatan Shah Rukh Khan turut didukung oleh pelakon hebat Bollywood, Kajol dan Rani Mukerji.
Genap 20 tahun hari ini, Karan Johar mengumumkan bahawa satu keraian besar-besaran akan dibuat dengan menjemput semua pelakon dan kru yang bersama menjayakan pembikinan dan kejayaan filem itu.
Malah, bulan lepas juga Karan pernah bergurau dengan berkata bahawa sekiranya dia merancang untuk mengarah ‘Kuch Kuch Hota Hai 2’, beliau akan menggunakan Ranbir Kapoor, Alia Bhatt dan Janhvi Kapoor sebagai barisan pelakonnya.
Mungkinkah ‘sesuatu akan terjadi’ lagi?
#Bollywood
#filem
#India
#Kajol
#Karan Johar
#KKHH
#Kuch Kuch Hota Hai
#Rani Mukerji
#Shah Rukh Khan