LOS ANGELES: Lebih banyak filem blockbuster, seram dan sekuel akan meluncur di pawagam untuk tahun 2023. Alasan ini akan menguatkan lagi kenapa anda perlu keluar menonton ke pawagam tahun ini.

Kekuatan adiwira Marvel, genre komedi yang menggelikan hati, watak seram dalam M3gan dan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) Android bakal menaikkan lagi ‘selera’ pilihan filem Hollywood yang siap sedia ditayang.

Bukan itu sahaja, filem Top Gun: Maverick yang menampilkan Tom Cruise sebagai bintang utama, filem penuh aksi ini dilihat mampu menyelamatkan industri perfileman Hollywood dan pemilik panggung wayang di seluruh dunia.

Begitu juga dengan filem Mission: Impossible lakonan Tom Cruise yang juga bakal ditayangkan pada tahun ini, pastinya anda sudah tidak sabar untuk mendapatkan tiket dan menonton bersama yang tersayang.

Berikut merupakan beberapa buah filem yang paling dinantikan pada tahun 2023!

M3gan 

Pembuat mainan berbakat Gemma (Alison Williams) mencipta anak patung menyerupai manusia bernama M3gan. M3gan membawa maksud Model Three Generative Android yang berperanan melindungi anak saudaranya, Cady yang masih bersedih akibat kecederaan emosi dan fizikal. M3gan ternyata memandang serius dengan tugas diberikan malah banyak kematian berlaku selepas M3gan muncul dalam keluarga Gemma.



Shotgun Wedding

Hasrat Darcy dan Tom (lakonan Jennifer Lopez dan Josh Duhamel) untuk mengadakan resepsi perkahwinan di sebuah pulau indah mendapat sokongan ahli keluarga. Namun kejadian tidak diingini berlaku selepas sekumpulan lanun datang menyerang kepulauan itu. Nyawa tetamu dalam bahaya, membuatkan Darcy dan Tom menganggap itu menjadi tanggungjawab mereka. Dapatkah pasangan ini meneruskan majlis perkahwinan impian mereka?



Knock at the Cabin 

Filem berdasarkan novel The Cabin at the End of the World yang merupakan arahan M. Night Shyamalan mengambil lokasi di sebuah kabin yang terletak di dalam hutan. Lakonan Jonathan Groff dan Ben Aldridge yang membawa anak perempuan mereka bercuti berakhir dengan tragedi tidak disangka. Sekumpulan individu yang mendakwa mereka dihantar ke kabin untuk menyelamatkan dunia. Mereka kemudian meminta salah seorang dari mereka membuat pengorbanan muktamad.



80 For Brady 

Empat sahabat lakonan Jane Fonda, Lily Tomlin, Rita Moreno dan Sally Field menuju ke perlawanan bola sepak Amerika, Super Bowl LI 2017 di Houston untuk menonton pemain bola, Tom Brady dari pasukan New England Patriots. Meskipun sudah berusia, pelbagai aksi lucu dan menghiburkan daripada kumpulan ‘super senior’ ini.



Ant-Man and The Wasp: Quantumania 

Scott Long dan Hope Va Dyne, bersama-sama Hank Pym dan Janet Van Dyne, meneroka alam kuantum, di mana mereka berinteraksi dengan makhluk aneh dan memulakan pengembaraan yang tidak terjangkau dek akal fikiran.




Cocaine Bear 

Sesuai dengan tajuknya yang mengetengahkan beruang hitam gelap, filem komedi ‘gelap’ yang diangkat dari kisah benar ini diarahkan oleh Elizabeth Banks mengenai seekor beruang yang menelan terlalu banyak kokain sehingga hilang kewarasan. Terdapat pelbagai momen lucu lakonan Keri Russell, O'Shea Jackson Jr, dan mendiang Ray Liotta.



Creed III 

Kehidupan Adonis Creed lakonan Michael B. Jordan berkembang naik sama ada dalam kerjaya dan kehidupan keluarga. Namun apabila rakan zaman kanak-kanak dan bekas pemain tinju hebat, Damian (Jonathan Majors) muncul semula selepas menjalani hukuman penjara panjang. Damian tidak sabar membuktikan kehebatannya di gelanggang tinju bersama Adonis yang dilihat sebagai pesaing dan ‘perlawanan’ yang melibatkan dendam lama.



Shazam! Fury of the Gods 

Apabila Billy Batson (Asher Angel) bersama anggota lain bertukar menjadi wira-wira dengan menyebut "Shazam!", mereka terpaksa beraksi semula melawan Daughters of Atlas dan menghalang mereka daripada menggunakan senjata yang boleh memusnahkan dunia di mana mereka mesti mengembara dengan penuh kedamaian memandangkan Billy mengambil mudah dengan kuasa yang ada.



The Mother 

Semasa melarikan diri daripada penyerang berbahaya, seorang bekas pembunuh upahan keluar dari persembunyian untuk melindungi anak perempuan yang ditinggalkannya sebelum ini. Filem arahan Niki Caro ini dibintangi oleh pelakon jelita Jennifer Lopez dan Joseph Fiennes.



Mission: Impossible – Dead Reckoning, Part One

Seperti filem Mission: Impossible terdahulu, filem penuh aksi yang membuatkan anda tidak senang duduk bila menontonnya menampilkan Tom Cruise dengan aksi lebih berbahaya. Filem ini turut menampilkan Eugene Kittridge (Henry Czerny), bekas pengarah IMF untuk Mission: Impossible 1996, yang kembali untuk menentang Ethan Hunt (Cruise). Ia seolah memberi ‘signal’ bahawa masa lalu sedang mengejar Ethan dengan cara yang tidak pernah dia bayangkan.



Transformers: Rise of the Beasts

Optimus Prime, Bumblebee, dan seluruh Autobots kembali dalam francais filem blockbuster arahan keluaran Michael Bay. Masih mengetengahkan genre aksi/ sains fiksyen, Transformers melancarkan pertempuran epik di bandar raya New York.