Filem 'The Batman' dimulakan semula kerana masalah teknikal, bukan VIP tiba lewat - TGV

Astro Awani
Mac 7, 2022 16:46 MYT
Selain itu, sebagai tanda permohonan maaf, TGV juga menawarkan dua tiket percuma dan bayaran balik penuh kepada pelanggan yang terjejas. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Selepas dikecam ekoran laporan yang mendakwa filem The Batman diulang semula tayangannya gara-gara adanya orang kenamaan (VIP) yang datang lambat, pengendali rangkaian pawagam Tanjung Golden Village Cinemas (TGV) tampil menjelaskan keadaan sebenarnya.
Dalam satu kenyataan, TGV memberitahu, filem tersebut perlu dimulakan kembali tayangannya bukan disebabkan kelewatan VIP tetapi disebabkan masalah teknikal.
TGV menyatakan, pihaknya telah menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian tersebut dan mendapati isu teknikal di dewan IMAX di TGV Vivacity membuatkan ia perlu diulang semula tayangannya.
“Kelewatan sesi tayangan disebabkan isu teknikal di dewan IMAX kami, dan bukan disebabkan oleh ketibaan VIP yang lewat seperti yang salah dilaporkan melalui beberapa media.
“Di TGV, kami menghormati dan melayan semua tetamu kami secara sama rata dengan keutamaan.
“Kami ingin memberi jaminan kepada semua orang bahawa keputusan untuk memulakan semula filem itu tidak dipengaruhi oleh kelewatan VIP dan kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul,” kata kenyataan tersebut.
TGV juga memaklumkan, walaupun isu teknikal sudah diperbetulkan, timbul pula masalah komunikasi antara pekerja untuk membenarkan tayangan jam 7.15 malam dimulakan tepat pada masanya.
“Ia menyebabkan pertunjukan pada jam 7.15 malam ditangguhkan. Pada ketika itu, 20 peratus penonton sudah memasuki dewan manakala baki 80 peratus masih menunggu di foyer dan masuk selepas tayangan dimulakan.
“Kami mengakui keputusan untuk berhenti dan memulakan semula filem itu menyusahkan pelanggan kami.
“Seperti yang dinyatakan dalam kenyataan awal kami, ini bukan dasar penyaringan kami. Kami memberi jaminan bahawa kami sedang mengambil langkah yang sewajarnya untuk memastikan kejadian ini tidak berulang,” katanya.
Selain itu, sebagai tanda permohonan maaf, TGV juga menawarkan dua tiket percuma dan bayaran balik penuh kepada pelanggan yang terjejas.
Sebelum ini, terdapat aduan yang mendakwa tayangan filem The Batman di TGV Vivacity pada 5 Mac lalu dimulakan semula selepas 45 minit disebabkan beberapa VIP yang tiba lewat.
TGV juga menerusi satu kenyataan awal tampil memohon maaf kepada pelanggannya berikutan aduan filem 'The Batman' terpaksa ditayang semula dari awal gara-gara kelewatan tetamu kenamaan (VIP) selepas 45 minit ditonton.
#The Batman #tgv #wayang #filem #teknikal #VIP #imax #masalah #penonton #tayangan
;