Filem animasi negara banyak potensi, perlukan dana eksport - Penggiat

Azyyati Ahmad
September 4, 2019 15:49 MYT
Pengarah filem Boboboy Movie 2 menyatakan hasrat agar Kerajaan dapat membantu menyediakan dana bagi mengeksport produk animasi tempatan.
Pengarah dan penerbit filem Boboiboy Movie 2, Nizam Abdul Razak menyatakan hasrat agar Kerajaan dapat membantu menyalurkan dana bagi mengeksport produk animasi tempatan ke pasaran luar negara.
Beliau yang juga Pegawai Eksekutif Animonsta Studios berkata, animasi adalah produk yang mudah dieksport dengan cepat cuma kekangan kos yang menyebabkan hasrat itu terbatas.
Katanya, eksport animasi juga menjamin perkembangan industri ini ke tahap yang lebih membanggakan melihat kualiti yang dihasilkan setanding dengan apa yang dihasilkan oleh penggiat animasi antarabangsa dan mendapat kepercayaan kuat penonton tempatan sendiri.
“Kalau kita sudah ada pasaran yang kuat di Malaysia mudah untuk kita berkarya dan kita minta kerajaan beri kepercayaan untuk sediakan dana eksport bagi produk animasi ini,
“Ini kerana, jika kita mahu eksport ke Korea dan Jepun misalnya, kos eksport sangat tinggi dan mungkin lagi tinggi dari kos produksi kita. Malah jika kita tengok negara Korea Selatan, walaupun mereka sudah popular, kerajaan mereka masih lagi mahu memberi dana untuk membantu promosi ke luar negara,” jelas beliau.
Nizam berkata demikian ketika dijemput ke AWANI Pagi pada Rabu dalam membincangkan fenomena filem Boboiboy Movie 2.
Setakat ini, filem Boboiboy Movie 2 baru sahaja selesai tayangan di Brunei, Indonesia, Singapura, serta Vietnam dan merancang untuk menjelajah ke rantau Asia seperti Filipina, Thailand, China dan India.
BACA: Pecah rekod! 'Boboiboy Movie 2' jadi filem animasi terlaris No.1 Malaysia
Nizam juga berkata ada rancangan menghasilkan filem animasi bergenre selain dari adiwira, dan ketika ini mempunyai beberapa idea yang bakal diketengahkan.
“Kita sudah ada tiga idea yang kukuh dan ketika ini pun Animonsta Studios hanya ada satu produk sahaja iaitu Boboiboy 2. Dengan teknologi yang ada sekarang ini, kita boleh hasilkan satu filem animasi dalam masa 12 bulan. Perancangan untuk projek animasi lain itu sudah ada, cuma tunggu untuk dilaksanakan,” katanya.
Filem animasi tempatan Boboiboy Movie 2 berjaya mengutip sebanyak RM27.7 juta di Malaysia dalam tempoh 26 hari tayangan.
Jumlah kutipan ini secara rasminya menjadikan ia sebagai filem animasi terlaris nombor satu di Malaysia mengatasi tayangan filem-filem animasi tempatan yang lain serta filem animasi luar negara.
#animasi terlaris #Animonsta Studios #Boboiboy Movie 2 #filem #Malaysia #Nizam Abdul Razak #produk animasi tempatan
;