Filem animasi Dongeng Sang Kancil lahir bakat tempatan
Bernama
Januari 16, 2025 16:41 MYT
Januari 16, 2025 16:41 MYT
KUALA LUMPUR: Filem animasi Dongeng Sang Kancil berjaya mencungkil bakat anak tempatan dalam bidang animasi 2.5 dimensi (D), iaitu gabungan teknik animasi 3D dan 2D.
Penerbit Eksekutif Dongeng Sang Kancil merangkap Pengasas dan Pengarah Urusan Les' Copaque Production Burhanuddin Md Radzi berkata teknik animasi 2.5D dalam filem itu merupakan satu inovasi baharu industri animasi tempatan.
"Saya berbangga kerana semua penyelidikan dan pembangunan filem ini dibuat oleh kru Les Copaque Production yang kesemuanya merupakan anak seni tempatan.
"Malah, produksi filem ini yang sepatutnya mengambil masa selama tiga tahun berjaya disiapkan hanya dalam tempoh setahun setengah sekali gus memberi satu anjakan baharu dalam industri perfileman tempatan," katanya ketika menjadi tetamu program Bernama TV "Apa Khabar Malaysia" dengan tajuk Dongeng Sang Kancil, di sini hari ini.
Dongeng Sang Kancil diarahkan oleh Ahmad Razuri Roseli yang turut menyumbangkan suara bagi watak Raja Buaya dan menampilkan pelakon suara Nini (Sang Kancil), Dinda Dania (Arnab), Loke Keng Sun (Sang Tupai), Md Fadzrian Ildzan (Gajah Belukar) dan Muhammad Hafiz Hassan (Helang Perkasa).
Mula ditayangkan di pawagam tempatan pada 26 Disember lepas, filem berdurasi 90 minit ini mengisahkan pengembaraan seekor kancil yang ingin membela kematian ibunya yang dibunuh dengan kejam oleh bayang hitam.
Burhanuddin berkata dalam proses membangunkan bakat tempatan, setiap pengurusan syarikat perlu meletakkan kepercayaan tinggi pada mereka.
"Kalau kita tidak percaya, kita tidak akan dapat melahirkan mereka semua. Contohnya, syarikat saya sendiri sangat mengutamakan anak-anak tempatan, jadi kita beri pendedahan dan melatih mereka sehingga berjaya melahirkan kira-kira 200 pekerja yang mahir dalam pelbagai bidang.
"Biasanya, anak-anak tempatan ini banyak yang mempunyai 'inferiority complex' (rendah diri), sentiasa memikirkan bahawa Hollywood itu lebih baik. Tetapi, bila kita terapkan keyakinan pada mereka, mereka akan sedar bahawa mereka juga mampu menghasilkan karya hebat," katanya.
"Program ini sudahpun siap dan kini sedang diuji di Jepun. Jadi, kita berharap dapat melancarkannya secara besar-besaran untuk pasaran dunia pada Jun atau Julai ini," katanya yang berhasrat membina Taman Tema Upin Ipin.
-- BERNAMA