FFM33: ‘Anugerah Dokumentari Terbaik’ diperkenal semula, bertemakan ‘emas’

Gempak
Ogos 21, 2024 14:06 MYT
Sidang media Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) di Komplek Studio Merdeka Finas, Kuala Lumpur pada Selasa. - Gempak
FESTIVAL Filem Malaysia yang ke-33 (FFM33) bakal mengembalikan semula kategori ‘Anugerah Dokumentari Terbaik’ selepas lima tahun tiada dalam senarai pertandingan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, anugerah tersebut dikembalikan disebabkan kerajaan ingin menghargai serta memartabatkan filem di Malaysia.
“Tahun ini, FFM33 akan menampilkan 30 anugerah yang merangkumi pelbagai kategori.
“Finas juga ingin mengumumkan bahawa Anugerah Dokumentari Terbaik akan dipertandingkan semula kerana ini merupakan langkah Kerajaan menghargai dan memartabatkan pelbagai genre dan bentuk karya dalam industri perfileman dan memperkayakan spektrum sinema Malaysia," katanya.
Penyertaan pertandingan
Selain itu, beliau juga mengumumkan bagaimana penyertaan dipertandingkan.
“Dari segi penyertaan, saya difahamkan lebih 100 buah filem yang diterbitkan dari 1 Oktober 2022 hingga 30 Jun 2024 layak untuk menyertai pertandingan pada tahun ini.
“Ia merupakan lanjutan apabila festival filem tidak diadakan pada tahun 2023," ulasnya ketika berlangsung sidang media pertama Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) di Komplek Studio Merdeka Finas, Kuala Lumpur pada Selasa.
Selain trofi dan hadiah wang tunai, pemenang bagi kategori ‘Anugerah Filem Terbaik’ bakal menerima dana sebanyak RM500,000 sebagai tanda sokongan dalam pembuatan filem di Malaysia.
Tema Festival Filem Malaysia
Dalam pada itu, Azmir turut berkongsi tentang pemilihan tema bagi Malam Kemuncak FFM33 tahun ini yang bakal berlangsung pada 7 Disember 2024 di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri.
“Untuk edisi yang ke-33 ini, FFM hadir dengan tema 'EMAS,' yang merupakan singkatan bagi Evolusi Sinema Malaysia. Tema ini dipilih di mana 'emas' melambangkan sesuatu yang bernilai tinggi, berkualiti, dan memberikan impak yang besar, ciri-ciri yang kita impikan untuk setiap karya perfileman tempatan.
“Di bawah tema ini, kita tidak hanya meraikan karya seni yang cemerlang, tetapi juga mendorong para penggiat seni untuk terus menghasilkan filem yang mempunyai nilai komersial dan artistik yang unggul.
“Pengisian festival tahun ini dirancang dengan lebih teliti, bagi memastikan setiap program yang dianjurkan memberi manfaat maksimum kepada semua yang terlibat.
“Dari sesi perbincangan industri hingga kepada forum-forum kreatif, semua aktiviti ini akan diakhiri dengan Malam Anugerah yang bakal menjadi kemuncak kepada festival ini pada 7 Disember ini,” ujarnya. -- Gempak
#Festival Filem Malaysia #FFM33 #FINAS #bertemakan emas #Azmir Saifuddin Mutalib