FESTIVAL Filem Venice dibuka Rabu lalu dengan langkah-langkah keselamatan yang ketat, dengan 18 filem bersaing untuk merebut anugerah utama dan membantu penggemar filem melupakan pandemik COVID-19 buat sementara waktu.

Pada tayangan filem pembukaan, Lacci arahan pengarah Itali, Daniele Luchetti, dewan pawagam hanya separuh penuh dengan wartawan.

Berpuluh-puluh papan tanda keselamatan berwarna merah dipasang di lokasi festival, sekali gus memberi keunikan tersendiri bagi acara tahun ini.

Peserta festival tiba dengan memakai pelitup hidung dan mulut. - Reuters

Kira-kira 6,000 tetamu dijangka hadir, kira-kira separuh daripada jumlah biasa, didorong faktor sekatan sempadan negara di seluruh dunia.

Sebilangan besar pelakon A-list Hollywood juga tidak akan tampil pada edisi tahun ini yang menyaksikan pelakon Australia, Cate Blanchett bertanggungjawab sebagai ketua juri.

"Ini festival tanpa bintang kerana Hollywood masih dalam perintah berkurung.

"Jadi tahun ini elemen glamor sedikit berkurangan malah anda tidak akan lihat ramai bintang ternama di karpet merah.

"Tetapi tahun ini menyaksikan persaingan banyak filem terbaik dari 50 negara, satu petanda hasil seni dan kreativiti terus 'mewah' di sebalik apa yang berlaku," kata pengarah festival, Alberto Barbera.

Petugas mengambil suhu badan peserta sebelum dibenarkan masuk. - Reuters

Sebanyak 18 filem akan bersaing untuk merebut anugerah utama, Golden Lion.

Penganjur berharap festival berkenaan, yang akan berlangsung hingga 12 September, akan berjalan lancar walaupun terdapat peningkatan kes jangkitan COVID-19 Itali dan negara-negara Eropah yang berdekatan.



** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !