Fenomena Upin & Ipin bakal berulang lagi

Astro Awani
Januari 4, 2019 18:58 MYT
FILEM Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal akan mula ditayangkan di pawagam di seluruh negara bermula 21 Mac 2019 diikuti negara Indonesia dan China.
FENOMENA animasi Upin & Ipin di Indonesia sejak beberapa tahun lalu membuktikan Malaysia tidak pernah ketandusan orang-orang bijaksana yang menjadikan seni sebagai bahan komoditi untuk pasaran dunia.
Mengangkat karakter dua si cilik yang berlatar belakang budaya Malaysia, pencipta Upin & Ipin bijak menggunakan platform rekaan animasi untuk menjaja apresiasi tempatan kepada orang luar khususnya dalam kalangan sahabat-sahabat di negara jiran.
Individu penting di sebalik penciptaan karakter Upin & Ipin, Burhanuddin Radzi merintis usaha yang cukup membanggakan negara sehingga menjadikan animasi itu sebagai fenomena luar biasa mengalahkan populariti Si Unyil milik Indonesia.
Usaha Burhanuddin tidak terhenti dengan hanya memasarkan siri animasi televisyen Upin & Ipin selain filem-filem karakter berkenaan termasuk Geng: Penggembaraan Bermula yang ditayangkan pada 2009, diikuti siri televisyen Laksamana Upin & Ipin (2012) dan filem Upin & Ipin: Jeng Jeng Jeng! (2016).
Sebaliknya, lelaki yang juga peneraju syarikat produksi Les' Copaque Production Sdn. Bhd., itu sentiasa memikirkan idea-idea baharu dalam memperkasakan jenama Upin dan Ipin.
Menjelang Mac ini, Les' Copaque bakal memasarkan filem cereka Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal yang dijangka bakal mengulangi fenomena dan kemasyhuran animasi popular itu.
Dengan kos penerbitan menelan belanja RM20 juta, Burhanuddin optimis akan menerima maklum balas yang baik daripada peminat-peminat setia siri itu.
Tidak sekadar meneruskan iltizam menerbitkan siri animasi yang membanggakan dunia, sebaliknya, apa yang paling utama, kata Burhanuddin, Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal menggunakan sepenuhnya kepakaran anak-anak tempatan.
"Kalau dulu kami gunakan tenaga 30 hingga 40 orang sekarang 140 orang pakar terlibat dalam animasi Keris Siamang Tunggal ini. Semuanya anak tempatan," kata Burhanuddin yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Les' Copaque.
Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal, kata Burhanuddin, akan mula ditayangkan di pawagam di seluruh negara bermula 21 Mac 2019 diikuti negara Indonesia dan China.
Segala kepakaran yang terkandung dalam Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal, jelas Burhanuddin juga, akan diusahakan beliau untuk ditayangkan di beberapa negara lain.
"Sudah tentu kami sasarkan pasaran global. Sehingga kini sudah ada rundingan dengan pengedar di beberapa negara untuk membawa filem ini ke negara-negara yang sudah kami kenal pasti," kata Burhanuddin.
Burhanuddin juga memberitahu, beliau sangat optimis, Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal akan membantu melonjakkan mutu industri filem dan animasi tempatan setaraf dengan karya-karya antarabangsa lain.
Ditanya apa yang menjadikan Upin & Ipin sangat berjaya dan berpengaruh di Indonesia khususnya, Burhanuddin berkata, pengisian jalan cerita animasi itu merupakan formula paling utama menarik perhatian masyarakat di negara jiran akrab itu.
"Daripada apa yang kami lihat, kejayaan Upin & Ipin di Indonesia kerana kami ketengahkan budaya Asia Tenggara. Ceritanya juga banyak berkisar mengenai kehidupan seharian. Orang Indonesia suka menonton pengajaran, moral yang murni serta bahasa dan tingkah laku dalam animasi ini.
"Yang turut mengejutkan ialah Upin & Ipin juga sangat diminati oleh orang-orang tua di sana, tidak hanya kanak-kanak yang menggemarinya," jelas Burhanuddin lagi.
#Burhanuddin Radzi #Indonesia #Les' Copaque Production Sdn Bhd #Malaysia #Upin & Ipin #Upin & Ipin Keris Siamang Tunggal
;