Fenomena Adele dan 'Hello': 7 sebab kenapa Adele disayangi ramai
Madiha Abdullah
November 26, 2015 10:37 MYT
November 26, 2015 10:37 MYT
Nama penyanyi antarabangsa, Adele, trending sejak beberapa hari lalu selepas kelahiran labum terbaharunya berjudul, 25. Album itu dilaporkan telah mencecah jualan melebihi 2.3 juta unit hanya dalam masa tiga hari berada di pasaran.
Ada yang mempersoalkan apa yang istimewa tentang penyanyi dari United Kingdom ini, apatah lagi dalam kalangan bintang-bintang yang tumbuh bagai cendawan tumbuh selepas hujan di Barat.
Kami senaraikan tujuh keistimewaan penyanyi kelahiran Britain itu yang menjadikannya fenomena dalam industri muzik, hari ini.
Vokal
Tiada siapa boleh menafikan kehebatan vokal Adele yang unik. Jika di era 80an dan 90an kita mengenali Whitney Houston dan Celine Dion, Adele adalah diva generasi baru.
Lagu bagi golongan rentan
Dalam mana-mana industri muzik sekalipun, lagu dengan tema 'putus cinta' adalah yang paling mudah dijual. Ia memang satu resipi biasa dan Adele nyata bijak mempergunakan situasi ini.
Lagu-lagu seperti Hello dan Someone Like You adalah lagu wajib berada di dalam playlist sesiapa sahaja yang pernah putus cinta.
Dan kini, walaupun Adele sedang melalui saat-saat bahagia bersama teman lelaki dan anaknya, lagu-lagu bertemakan kekecewaan tetap menjadi pilihannya.
Dengar sahaja lagu Hello, ia pasti membuat anda terkenangkan si dia yang pernah hadir dalam hidup anda.
Penampilan
Tatkala ramai selebriti memilih untuk berdiet dan mendapatkan bentuk badan yang ramping, Adele pula sebaliknya. Dia tetap yakin dengan fizikal yang dimilikinya, malah Adele pernah memberitahu dia tidak akan berubah hanya kerana orang lain tidak menyukainya.
Adele juga melawan arus apabila memilih untuk tidak tampil seksi keterlaluan. Penghibur berusia 27 tahun ini selesa dengan penampilan yang sederhana namun masih nampak classy.
Cantik
Biarpun mungkin tidak tergolong dalam kategori cantik yang konvensional, tetapi satu fakta yang diakui ramai adalah Adele punya kecantikan tersendiri. Ramai berpendapat Adele memiliki kecantikan 'vintaj'.
Menurut majalah Vogue, kecantikan Adele bersifat "membawa kita ke satu zaman lain yang hanya boleh dirasai melalui perasaan".
Ibu yang prihatin
Adele tidak berkompromi dengan hal berkaitan anaknya, Angelo. Dia menyaman (dan menang) seorang paparazi yang mengambil gambar Angelo tanpa kebenaran.
Real
Seorang yang suka berterus-terang, Adele tidak menyembunyikan hakikat dia suka makan dan tidak gemar bersenam.
"Saya seorang penyanyi, bukan trendsetter. Saya lebih rela kelihatan gemuk dan punya karier yang hebat serta dihormati, daripada kelihatan cantik tetapi hanya popular kerana kontroversi."
Way to go, girl!
Ikon generasi muda
Dalam usia 27 tahun, Adele sudah punya segala-galanya. Kerjaya yang hebat, wang, populariti, anak yang comel dan paling penting, disayangi peminat seluruh dunia.