FDAM persoal mengapa lapan pengarah bukan ahli boleh tercalon FFM27
Azyyati Ahmad
September 2, 2015 17:24 MYT
September 2, 2015 17:24 MYT
Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) mempersoalkan penyertaan dan pencalonan lapan orang pengarah dalam kategori Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik di Festival Filem Malaysia yang ke 27.
Ini kerana kelapan-lapan pengarah tempatan tersebut bukanlah merupakan ahli FDAM namun masih tercalon di FFM27.
Menurut Setiausaha Kehormatnya, Datuk Abdul Rahim Awang, pendaftaran pengarah dengan FDAM merupakan syarat wajib bagi calon seperti yang termaktub dalam Klausa 7 (1) Padu Citra.
Perkara tersebut telah diajukan FDAM kepada Filem Nasional Malaysia (FINAS) bertarikh 17 Ogos lalu, namun balasan yang diterima tidak menjawab persoalan mereka.
"Kami di FDAM ingin tahu mengapa perkara tersebut terjadi dan kalau sudah diubah apa rasionalnya.
"FINAS membalas surat itu pada tarikh 21 Ogos, namun mereka hanya menjustifikasikan apa yang telah dibuat oleh penganjur bukan menjawab persoalan tersebut," ujar Abdul Rahim yang turut memberitahu bahawa perkara tersebut sudah berlaku semenjak FFM ke 25.
Jelas Abdul Rahim, adalah penting bagi seseorang pengarah untuk berdaftar dengan FDAM bagi memastikan tahap profesionalisme seseorang sutradara itu.
“Pernah terjadi sebelum ini, apabila seorang penerbit ditipu oleh seorang pengarah, namun tindakan tidak dapat diambil kerana pengarah tersebut tidak berdaftar dengan FDAM.
“Begitu juga apabila apresiasi mahu diberi kepada sutradara-sutradara muda ini, ia tidak dapat dilakukan kerana mereka bukan ahli kita,” katanya.
Dalam pada itu Abdul Rahim memohon agar FINAS mengarahkan kelapan-lapan pengarah tersebut untuk berdaftar dengan FDAM, agar pencalonan mereka dapat disahkan segera.
Malam kemuncak FFM 27 akan berlangsung 5 September ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).