FDAM gesa penggiat seni utamakan kesihatan, enggan sejarah P Ramlee berulang
Sinar Harian
Julai 3, 2024 19:45 MYT
Julai 3, 2024 19:45 MYT
ENGGAN peristiwa pahit melanda Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang meninggal dunia akibat serangan jantung, Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) menggesa ahli-ahlinya mengambil masa menjaga diri sendiri berbanding terlalu fokus bekerja.
Pengerusi FDAM, Datuk Afdlin Shauki berkata, kebanyakan pengarah tidak mempunyai tahap kesedaran kesihatan jantung yang tinggi dan kebiasaannya tugas sebagai penggerak sesebuah karya ini selalu memaksa diri bekerja hingga ke tahap maksimum.
"Saya akui kesedaran jantung dalam kalangan ahli-ahli FDAM agak rendah kerana bukan kita bebal tapi ingat kita kebal.
"Kita menjadi leka dengan rutin dan perbuatan lazim sehingga tidak peka dengan simptom yang menjadi penyebab serangan jantung.
"Kita bekerja tidak mengikut jam yang ditetapkan badan kita, selalu paksa diri ke tahap maksimum. Saya kenal kawan-kawan saya kerana perangai saya pun sama seperti merokok dan mengambil kafein terlalu banyak," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Tambah Naib Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Wilayah Persekutuan itu berpendapat, setiap pengarah perlu mementingkan kesihatan untuk memastikan karya mereka kekal lestari dengan karya-karya yang dihasilkan.
"Buat mereka yang masih ingat, Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee meninggal dunia akibat serangan jantung.
"Semuanya tidak tahu dan tidak mahu ambil tahu. Masa untuk semua ini berubah. Kita harus selari dengan karya-karya kita dan pada masa sama jagalah kesihatan terutama penggerak kehidupan iaitu jantung. Hanya dengan ini kita kekal lestari dengan karya-karya kita," ujarnya.
Atas faktor itu, FDAM mengambil inisiatif menganjurkan Hari Karya Lestari FDAM 2024 dengan kerjasama Institut Jantung Negara (IJN) yang bertujuan memberi kesedaran mengenai kesihatan jantung terhadap penggiat seni.
Program berlangsung seharian itu dihadiri 100 ahli juga menggabungkan elemen riadah, acara berjalan santai dan pendedahan simptom penyakit jantung.
Mereka yang mengambil bahagian pada program itu turut berpeluang melakukan pemeriksaan kesihatan termasuk jantung secara percuma.
Afdlin berkata, FDAM turut menyasarkan acara itu pada masa akan datang untuk keseluruhan industri kreatif.
“FDAM mengalukan rakan-rakan kami dari persatuan-persatuan seperti Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima), Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) dan banyak lagi untuk bertemu kami mengadakan kerjasama untuk penganjuran yang sama,” katanya.
*Artikel disiarkan di Sinar Harian