Fazura, Fattah mohon doa segalanya dipermudahkan

Faida Rahim
Oktober 7, 2024 09:30 MYT
Fazura memohon doa terbaik daripada orang ramai untuk prosiding kedua tuntutan perceraian yang akan berlangsung pagi ini.
SHAH ALAM: Pelakon terkenal, Nur Fazura Sharifuddin atau Fazura memohon doa terbaik daripada orang ramai untuk prosiding kedua tuntutan perceraian yang akan berlangsung pagi ini.
Fazura, 41, yang mengenakan jubah berwarna merah jambu tiba di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, pada jam 9.10 pagi diiringi lima pengawal peribadi.
“Doa yang baik-baik ya. Semoga dipermudahkan, Fatimah dalam keadaan baik,” katanya ringkas menjawab pertanyaan wartawan mengenai dirinya dan anaknya, Nur Fatima Aisya.
Sementara itu, Fattah juga senada dengan Fazura memohon doa orang ramai agar konflik rumah tangganya dengan Fazura selesai dengan baik.
"Jangan ada spekulasi, saya tak nak komen banyak... doa dipermudahkan," kata Fattah ringkas.
Jawapan konflik rumah tangga Fazura dan suaminya, Fattah Amin dijangka menemui noktahnya pada pagi ini sama ada pasangan tersebut akan terus mempertahankan bahtera perkahwinan yang terjalin sejak tujuh tahun lalu atau ia akan berakhir.
Pada 25 September lalu, Fattah atau Abdul Fattah Mohd Amin, 33, menyatakan belum bersedia menceraikan isterinya ketika prosiding pertama di mahkamah yang sama.
Bagaimanapun, Fazura nekad untuk meneruskan penceraian meskipun keputusan itu bukan mudah untuk dilakukan.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017, dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya, 4.
#Fattah Amin #Fazura #kes cerai fazura #Mahkamah Rendah Syariah Petaling
;