Fazura buat laporan polis isu pecah amanah

Gempak
Ogos 17, 2022 11:50 MYT
Nur Fazura menjelaskan bahawa dia ada membuat laporan polis baru-baru ini bagi isu pecah amanah, namun, enggan berkongsi perinciannya. - Gambar GEMPAK
PELAKON, penyanyi dan usahawan, Nur Fazura menjelaskan bahawa dia ada membuat laporan polis baru-baru ini bagi isu pecah amanah.
Namun, pelakon yang meledak menerusi filem Gol & Gincu itu enggan mengulas lanjut dan memperincikan tentang laporan polis yang dibuatnya itu.
“Betul, memang saya ada memuat naik gambar balai polis baru-baru ini. Cuma apa yang boleh dikongsikan di sini adalah laporan berkenaan melibatkan isu yang agak besar iaitu pecah amanah.
“Tetapi saya tidak boleh berkongsi butiran lanjut mengenai laporan dan isu berkenaan. Apabila tiba masanya, saya akan kongsikan kepada semua.
“Dan tidak molek juga rasanya untuk berkongsi lokasi dan tarik laporan tersebut dibuat,” katanya kepada Gempak pada sidang media Konsert Faztival Fazura 2022 yang berlangsung di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur minggu lalu.
Terdahulu, isteri kepada pelakon Fattah Amin itu berkongsi gambar balai polis yang menerusi Instagram Story.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Fazura turut berkongsi mengenai penganjuran Konsert Faztival 2022 yang bakal diadakan pada 11 September depan di Axiata Arena.
Menurut Fazura, konsert berkenaan memperkenalkan konsep #miliksemua, dengan tiket-tiket konsert dijual bermula RM147.
Konsert berkenaan bakal dibarisi penyanyi popular tempatan dan Indonesia seperti Datuk M. Nasir, Datuk Awie, Ella, Ruffedge, Zizi Kirana, Ippo Hafiz dan Amir Masdi.
Penghibur tersohor dari seberang iaitu Ahmad Dhani juga akan bersama Ahmad Band selain isterinya, Mulan Jameela bakal menghangatkan pentas.
Artikel asal disiarkan di Gempak.
#Fazura #laporan polis #pecah amanah #Fattah Amin
;