Fattah dakwa simpan 'rahsia besar' Fazura

Nickyson Nyambar
Oktober 7, 2024 22:04 MYT
"Saya sebenarnya ada tahu suatu benda, tetapi kami sudah bersetuju untuk tidak membuka aib masing-masing. Saya pun sudah bersetuju untuk tidak failkan nusyuz," -Gambar Fail
KUALA LUMPUR: HARI ini industri hiburan negara kecoh dengan berita kurang manis yang meniti di bibir-bibir peminat melibatkan dua selebriti terkemuka tanah air, Nur Fazura dan Fattah Amin.
Buat masa ini sudah pasti orang ramai tertanya-tanya dan ada yang cuba merungkai apa 'rahsia besar' yang didakwa disimpan bekas suaminya, Fattah Amin.
Ia rentetan pendedahan yang dibuat oleh Nur Fazura seusai proses lafaz cerai talak satu, yang mana mengatakan suaminya berlaku curang menjadi antara sebab rumah tangga yang dibina selama tujuh tahun hancur.
Bagaimanapun, Fattah menjelaskan bahawa beliau akan tetap berpegang kepada janji untuk tidak membuka pekung di dada.
"Saya sebenarnya ada tahu suatu benda, tetapi kami sudah bersetuju untuk tidak membuka aib masing-masing. Saya pun sudah bersetuju untuk tidak failkan nusyuz.
"Janganlah buat benda yang bukan-bukan macam ini (pendedahan), memalukan. Saya tak nak," katanya ketika ditemui media di Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari pada pagi Isnin.
Fattah antara lain menegaskan kenyataan yang dibuat oleh bekas isterinya itu hanya akan memberi kesan negatif terhadap anak mereka, Nur Fatima Aisya yang kini menginjak usia empat tahun.
"Malulah kepada anak, bila besar boleh tengok Mummy (Fazura) dan Daddy (Fattah) bergaduh cara macam ini. Saya tak nak, saya kasihankan anak," tambahnya yang kelihatan sugul.
Terdahulu, Fazura dalam sidang media selepas bercerai dengan Fattah mendakwa punca perceraiannya disebabkan kecurangan Fattah.
Selain itu yang turut menjadi punca, Fazura mendakwa Fattah culas memberi nafkah kepadanya dan Fatima serta tiada lagi persefahaman antara mereka.
Fattah melafazkan talak satu di hadapan Hakim Syarie Abdul Malek Soleh pada jam 9.45 pagi Isnin.
Ini selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai yang difailkan Fazura mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
#Hubungan selebriti #perkahwinan #perceraian #Fattah Amin #Fazura
;