Fattah Amin buat laporan polis ke atas rakan kongsi perniagaan

Amirah Shariffudin
Mac 27, 2019 19:59 MYT
Menurut kenyataan media, isu ini timbul apabila pihak stokis cuba mendapatkan wang mereka dari sistem kredit MRP tetapi tidak berjaya. - ASTRO AWANI/Amirah Shariffudin
Pelakon Fattah Amin telah membuat laporan polis terhadap rakan kongsinya di bawah syarikat MRP International Sdn. Bhd., Kamarul Ariff Abd Karim kerana gagal memberi kerjasama dalam memberi akses kepada penyata kewangan syarikat tersebut.
Fattah berbuat demikian bagi membersihkan namanya daripada terus didakwa oleh pihak stokis syarikat berkenaan wang yang tidak dikembalikan sejak beberapa bulan lalu.
Pelakon yang berusia 28 tahun itu membuat laporan polis pada 8 Mac lalu di Balai Polis Dang Wangi sebagai satu penjelasan kepada pihak stokis MRP dan orang ramai bahawa beliau tidak menipu atau bersekongkol dengan pihak syarikat MRP.
Pelakon Mat Kilau itu melantik peguam dari Azaine & Fakhrul Advocates & Solicitors, Fakhrul Azman Abu Hasan, bagi membantu dalam siasatan isu berkenaan.
Sekitar penghujung tahun lalu, agen-agen syarikat itu mula meninggalkan komen di media sosial dan menuduh Fattah tidak mengembalikan wang mereka, walaupun pelakon itu sendiri tidak mengetahui tentang isu tersebut.
Fattah menjelaskan bahawa beliau ada cuba menghubungi Kamarul untuk mendapatkan penjelasan, namun pertanyaannya tidak mendapat respons.
"Pada 13 Februari lalu, peguam saya telah menghantar notis kepada Kamarul supaya membenarkan saya mengakses penyata kewangan syarikat dan menjalankan audit yang lebih terperinci.
"Sehinggalah saya merancang untuk membuat sidang akhbar, baru dia ada menghubungi peguam. Jadi, saya dan peguam akan berbincang tentang perkara ini untuk tindakan lanjut,” jelas Fattah ketika di sidang akhbar berkaitan isu MRP di Universal Music Malaysia, di sini, hari ini.
Menurut kenyataan media, isu ini timbul apabila pihak stokis cuba mendapatkan wang mereka dari sistem kredit MRP tetapi tidak berjaya. Hal ini adalah kerana sistem kredit tersebut hanya boleh diakses oleh Kamarul.
“Yang pentingnya sekarang adalah saya nak bersihkan nama baik saya dan pada masa yang sama saya nak bantu stokis dan agen untuk mendapat hak mereka,” ujar Fattah yang berharap pihak stokis dan peminatnya akan berhenti menyalahkan dirinya tanpa mempunyai sebarang bukti.
#Fakhrul Azman Abu Hasan #Fattah Amin #Kamarul Ariff Abd Karim #laporan polis #MRP
;