Fathia Latiff saran block video lucah
Mei 30, 2018 21:15 MYT
NIAT pelakon Fathia Latiff untuk menghadkan video lucah yang tular di media sosial akhirnya dikecam semula oleh netizen.
Menurut pelakon itu, hal ini demi menjaga akhlak anak-anak muda supaya tidak tercemar dan rosak dengan video tersebut apabila ia dengan percuma tersebar di media sosial.
"Saya mengharapkan pihak atasan boleh block video-video lucah yang disebarkan secara meluas sekarang ni.
"Takut rosakkan akhlak remaja bawah umur yang menggunakan media sosial tanpa bimbingan daripada penjaga i.e. ibu bapa," tulisnya sambil tag Perdana Menteri ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Fathia yang menerima tamparan hebat menerusi akaun Twitter miliknya bagaimanapun tidak cepat melatah dan reda dengan apa yang telah terjadi.
"Saya reda dengan apa yang terjadi pada saya. Saya percaya Tuhan ingin saya menjadi hamba yang lebih baik.
"Bukan sahaja lebih baik di sisi Tuhan tapi di mata masyarakat juga," tulis Fathia lagi.
Selain menerima kecaman tapi masih ada juga segelintir netizen yang menyetujui niat murni artis ini.