Fasha Sandha dan Aidil Aziz bertunang hari ini

Asyraf Roslan
November 18, 2018 18:18 MYT
Fasha dan Aidil telah selamat mengikat tali pertunangan di 9Kedondong Ampang Hilir, Kuala Lumpur pada Ahad. - Foto: @kaki5photo
Desas-desus berita bahawa pasangan pelakon, Fasha Sandha, 34, dan Aidil Aziz bertunang akhirnya terjawab.
Pasangan tersebut telah selamat mengikat tali pertunangan di 9Kedondong Ampang Hilir, Kuala Lumpur pada Ahad.
Sebelum ini, Fasha dan Aidil menafikan akan bertunang kerana kedua-dua mereka sibuk dengan kerjaya masing-masing.
Bagaimanapun, terdapat beberapa hint pasangan ini bakal mengikat tali pertunangan hari ini apabila mereka dikatakan telah menempah busana pertunangan.
Malah, jutawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri yang memuat naik komen di laman sosial Instagram Fasha seolah-olah memberi gambar pelakon jelita itu akan melangsungkan pertunangan dengan kekasih hatinya.
Majlis pertunangan yang hanya dihadiri kaum keluarga dan teman rapat ini diadakan secara sederhana atas permintaan kedua-dua belah keluarga.
Majlis bermula selepas Asar yang mana pihak Aidil menghantar tiga dulang hantaran dan berbalas lima dulang dari pihak Fasha. Antara barangan yang dijadikan hantaran termasuklah sebentuk cincin pertunangan, manisan, set kelengkapan, wangian dan pakaian.
Fasha disarungkan sebentuk cincin tanda pertunangan oleh ibu Aidil iaitu Rokkiah Md Noor, sambil disaksikan oleh ayah Aidil, Abdul Aziz Ishak dan kaum keluarga yang datang dari Rembau. Ibu Fasha, Hatijah Tehman turut hadir bersama kaum keluarganya bagi memeriahkan majlis pertunangan ini.
Menurut Fasha juga pemegang trofi Pelakon Wanita Terbaik (Drama) di Anugerah Skrin tahun lalu, majlis pertunangan ini adalah sangat istimewa untuk dirinya secara peribadi kerana tidak pernah melalui fasa bertunang sebelum ini meskipun pernah mendirikan rumah tangga. Saya berharap saya dapat lebih mengenali Aidil selepas pertunangan ini.
“Alhamdulillah saya bersyukur kerana Aidil dan keluarganya menerima saya dan anak-anak dengan baik sekali dan saya berharap pertunangan ini akan berkekalan sehingga ke perkahwinan,” katanya.
Fasha sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga bersama usahawan, Rizal Ashram Ramli pada 27 April 2012 sebelum bercerai pada 20 Januari 2016. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu, Putra Rayfal berusia 5 tahun dan Putri Raysha Jemyma, 4.
“Pak Ngah (panggilan manja) telah melamar saya pada 21 Jun lalu dan saya mengambil masa beberapa bulan untuk memikirkan tentang perkara ini. Saya sebenarnya khuatir dan dilema untuk menerima pada mulanya. Namun saya lihat kualiti yang ada pada Aidil.
"Dia juga cukup akrab dengan kedua anak saya dari sejak awal saya perkenalkan kepada mereka lagi. Saya tertarik kerana Aidil meletak usaha dan inisiatif untuk mendekati anak-anak saya dengan meluangkan masa, dan bijak mengambil hati mereka berdua. Malah Aidil juga pandai menghormati kedua ibu bapa dan keluarga saya,” tambah Fasha lagi.
Fasha yang mula mengenali Aidil atau nama sebenarnya Mohd Aidil Abdul Aziz, 31, akhir tahun lalu selepas mereka terbabit sama dalam satu penggambaran sitkom. Sejak itu, pasangan ini mula akrab dan akhirnya tampil tanpa menafikan sebagai pasangan kekasih sekitar pertengahan tahun ini.
#9Kedondong Ampang Hilir #Aidil Aziz #Fasha Sandha #Kuala Lumpur #tunang
;