Fasha Sandha cedera di kepala, mata ketika penggambaran drama
Faida Rahim
Mac 2, 2023 17:31 MYT
Mac 2, 2023 17:31 MYT
KUALA LUMPUR: Pelakon terkenal Fasha Sandha dikejarkan ke sebuah hospital pakar di Johor Bahru akibat mengalami kecederaan pada mata kirinya ketika menjalani penggambaran drama berjudul Anak Tuan, semalam.
Menurut kenyataan di Instagram Fasha, insiden berlaku selepas mata serta kepalanya terhentak pada bucu katil yang tajam.
“Di sini saya ingin membuat sedikit update tentang kakak. Maaf kakak sedang rehat secukupnya. Kakak mengalami kecederaan akibat terjatuh ketika berlakon di set pengambaran Anak Tuan pada 1 Mac (pagi semalam). Mata dan kepalanya terhentak di bucu katil yang tajam.
“Tulang mata kiri patah dan bebola matanya kirinya berdarah dan bengkak dan sedang dirawat di Hospital Pakar di Johor Bahru,” katanya.
Tambahnya, aktres 39 tahun itu dijangka akan mendapatkan rawatan lanjut di hospital pakar di Kuala Lumpur pada hari ini atau esok pagi.
Dalam masa sama, wakil pengurusan memohon jasa baik peminat dan keluarga untuk mendoakan kesihatan Fasha.
"Seperti yang ramai tahu Fasha seorang yang kuat semangat dan komited dalam kerjayanya. Saya yakin dia kuat.
“Pihak produksi telah memohon maaf pada Fasha dan keluarganya. Kata Fasha, tidak ada sesiapa yang harus dipersalahkan kerana kemalangan ini terjadi di luar jangkaan kita,” ujarnya.
Dalam hantaran sama, turut dikongsi petikan video drama arahan Along Kamaludin itu yang menyaksikan Fasha bersama Azhan Rani menjayakan salah satu babak tegang di mana aktor tersebut menarik rambut Fasha dari tangga dan menolaknya sebelum terjatuh di bucu katil.