Fasha, Aidil bersanding di majlis berinai, tarikh nikah masih rahsia

Faris Danial Razi
Mac 28, 2019 12:39 MYT
Fasha Sandha sebak kerana perkahwinan yang akan berlangsung kali ini direstui keluarga. - Gambar Astro Awani.
Tiada apa yang menggembirakan aktres terkenal, Fasha Sandha selain daripada bersyukur kerana bakal berkahwin sekali lagi diiringi restu daripada keluarga kedua-dua pihak.
Jika pernikahan kali pertamanya berlangsung dalam kontroversi, kali ini, Fasha mahu memaknai penyatuan hatinya dengan Aidil Aziz dalam serba keindahan.
“Kali ini saya merasai erti perkahwinan yang sebenar. Mungkin kali ini adalah kerana mendapat restu daripada kedua-dua pihak, rasanya lain,” kata Fasha berkongsi perasaan bakal menamatkan zaman jandanya kepada media pada Rabu.
Pelakon jelita itu ditemui di majlis malam berinai yang khusus diadakan bagi mengeratkan silaturahim antara kedua belah keluarga dan kenalan rapat di The Love @ Matic, Kuala Lumpur.
Dalam kegembiraan itu, Fasha juga meluahkan rasa sedih untuk meninggalkan gelaran janda atau ibu tunggal.
"Bagi saya, gelaran janda atau ibu tunggal melambangkan kekuatan seseorang wanita.
"Meskipun tidak ramai orang beranggapan baik dengan janda, Alhamdulillah saya telah menggalas tugas ibu tunggal ini dengan baik," ujarnya lagi.
Selepas beberapa tahun menganggotai 'Independent Single Mother Club' (ISMC), Fasha, 34, juga berkata, dia sudah bersedia untuk meninggalkan kawan-kawan dalam kelab yang sama antaranya, Amelina, Erra Fazira dan beberapa yang lain.
Bagaimanapun, apabila ditanya tarikh perkahwinannya, Fasha enggan memberitahu dan hanya menjelaskan, majlis itu bakal diadakan pada hujung minggu ini.
"Ikut perancangan hujung bulan ini (Mac). Bagaimanapun, kalau sudah benar akan jadi, baru saya akan kongsi kerana kita tidak tahu apa akan jadi tetapi perancangan memang hujung bulan ini," kata Fasha berahsia.
#Aidil Aziz #Fasha Sandha #Malam Berinai Fasha dan Aidil #perkahwinan
;