Farid Kamil tak hadir mahkamah, cerai Diana Danielle melalui Google Meet

Gempak
Ogos 10, 2023 16:40 MYT
Diana yang ditemui sejurus prosiding berkata, dia bersyukur kerana proses perceraian berjalan dengan lancar dan telah dipermudahkan. - Gambar/ Gempak
AKTRES Diana Dianelle akhirnya bercerai talak satu dengan aktor dan pengarah, Farid Kamil kira-kira jam 3.22 petang tadi di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam, Selangor.
Lafaz cerai dilafazkan Farid di hadapan Hakim Syarie Syukran Yusof, menerusi Google Meet memandangkan pelakon filem Anwar itu tidak menghadirkan diri ke mahkamah.
Diana yang ditemui sejurus prosiding berkata, dia bersyukur kerana proses perceraian berjalan dengan lancar dan telah dipermudahkan.
“Alhamdulillah, kita dah boleh tutup buku dan mulakan hidup baharu. Harapnya kita menjadi orang yang lebih baik. Soal perasaan (ketika talak dijatuhkan), saya tidak mahu mengulas lanjut kerana bagi saya ia terlalu peribadi
“Cuma, saya tidak nafikan ia merupakan perkara yang sukar bagi saya dan Farid untuk lakukan,” katanya.
Diana menambah, dia sudah lama bersedia secara mental untuk menghadapi hari ini (perceraian).
“Saya memang sudah bersedia untuk menghadapi perkara ini, dan saya hanya menyimpan segala perasaan itu di ‘belakang pintu’.
“Perihal anak pula, seperti biasa kami perlu menjalankan tanggungjawab dan amanah masing-masing. Apa yang penting kami cuba untuk jadi ibu bapa yang baik untuk anak-anak,” tutup Diana.
Kontroversi rumah tangga pasangan ini timbul selepas Diana memfailkan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari pada 10 Mac lalu.
Menerusi laporan media, alasan Diana mahu bercerai disebabkan tiada persefahaman, berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan dan tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri.
Bagaimanapun, Farid dilaporkan enggan melafazkan cerai terhadap isterinya.
Sehubungan itu, Hakim Syarie, Shukran Yusof memerintahkan Farid dan Diana untuk menjalani proses Jawatankuasa Pendamai (JKP).
Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan melalui perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8. - Gempak
#Farid Kamil #Diana Danielle #cerai #google meet
;