Farid Kamil anggap musim cerai ada kaitan dengan politik...
Gempak
Oktober 31, 2024 12:40 MYT
Oktober 31, 2024 12:40 MYT
PELAKON Farid Kamil memberitahu dia tidak pernah meminta wang daripada netizen sepanjang 15 tahun mengharungi rumah tangganya bersama isteri, aktres Diana Danielle.
Justeru, Farid memilih untuk enggan mengambil pusing tanggapan netizen terhadap kemelut yang berlaku antara dia dan isteri.
“Saya mengharungi rumah tangga saya selama 15 tahun tanpa sesen pun duit netizen. Masalah daripada saya, masalah yang timbul pun apa semua pun, sekupang pun saya tak minta netizen,” katanya.
Ketika mengulas mengenai isu rumah tangganya, Farid turut berkata dia adalah satu-satunya individu yang tidak pernah menerima rasuah dan masih memperjuangankan isu tersebut sejak enam tahun lalu.
“Dan untuk pengetahuan semua, di kala 2024 ini mana nak cari manusia yang macam Farid Kamil ini. Awak tanya saya, saya seorang manusia yang tak ambil rasuah.
“Saya tak terima rasuah, saya tak ambil rasuah dan enam tahun perjuangan saya tentang rasuah ini, tahun 2024 Perdana Menteri betul-betul sokong, kita lawan rasuah,” ujarnya.
Dalam pada itu, Farid turut menganggap perceraian yang dikatakan menjadi trend tahun ini seperti mempunyai kaitan dengan politik dan harga minyak.
“Di sebalik 2024 ini kan, dah jadi trend orang bercerai-berai. Awak tak rasa ke benda itu ada kaitan dengan politik, kaitan dengan harga minyak. Awak tak perasan ke semua benda itu,” ujarnya.
Selepas setahun kembali rujuk, pelakon Diana Danielle mengejutkan ramai apabila mengumumkan akan memfailkan perceraian buat kali kedua terhadap suaminya, Farid Kamil.
Bagaimanapun, pemilik nama nama penuh Diana Danielle Danny Beeson, 33, itu enggan memperincikan alasan membuat keputusan nekad untuk berpisah.
Pada Rabu, Farid mengakui berlaku perselisihan faham kecil di antara dia dan isterinya, Diana Danielle sebelum aktres itu berkongsi kenyataan yang dia akan memfailkan perceraian buat kali kedua.
Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 11, dan Nur Aurora, 9.
Sebelum ini, Farid dan Diana pernah bercerai talak satu pada 10 Ogos secara dalam talian sebelum rujuk semula pada 31 Ogos lalu. - Gempak