Rakan-rakan artis yang sudah mengenali pelakon dan pengarah Farid Kamil begitu lama amat gembira dengan pernikahan beliau dengan pelakon muda Diana Danielle.

“Mereka memang padan dan majlis ini telah bergambarkan personaliti pasangan pengantin iaitu mereka memang ‘sempoi’ dan berserderhana. Saya sudah kenal Farid begitu lama dan beliau memang seorang yang ‘simple’,” kata pelakon Iqram Dinzly.

Iqram merupakan junior kepada Farid di Fakulti Seni Persembahan UiTM Shah Alam dan juga sahabat baik kepada Diana.

Apabila ditanya bagaimana beliau tahu tentang hubungan Farid dan Diana, Iqram akui tidak suka untuk mengambil tahu tentang hal peribadi orang lain namun Diana pernah memberitahu hasrat beliau untuk berkahwin pada usia yang muda ini.

“Diana masih 21 tahun. Saya rasa beliau masih muda namun kalau beliau sudah bersedia, saya setujukan sahaja. Ini kerana Diana adalah seorang wanita yang matang,” tambah Iqram.

Pelakon, pengarah dan penyanyi Yana Samsudin sudah mengenali Farid lebih dari 10 tahun sejak pembabitan mereka di dalam dunia seni di bawah naungan Metrowealth International Group (MIG).

“Saya begitu gembira kerana saya sudah anggap Farid seperti ahli keluarga saya. Farid mempunyai ciri-ciri yang lengkap untuk menjadi pasangan hidup Diana.

“Doa saya adalah agar mereka banyak bersabar bila menghadapi dunia baru dan moga kekal hingga ke syurga,” kata Yana.

Ketua Pegawai Operasi MIG dan juga penerbit filem David Teo juga turut kongsi kegembiraan Farid dan Diana.

“Saya sudah kenal Farid ketika beliau masih mentah dan kini beliau sudah mengambil langkah yang matang untuk mempunyai isteri dan tidak lama lagi sebagai bapa pula. Ini adalah satu peningkatan bagi kehidupan peribadi beliau.

“Peranan saya dalam hidup Farid adalah lebih dari seorang bapa kerana saya akan pantau setiap langkah beliau untuk kebaikan kerjayanya. Namun kini saya beri tanggungjawab itu kepada Diana. Saya tidak perlu lagi kejutkan beliau, atau memberi teguran. Dia ada seorang isteri untuk mengingatkan tentang kerja,” jelas Teo.

Majlis akad nikah Farid dan Diana berlangsung di Hotel Flamingo, Ampang. Ia dihadiri lebih dari 300 ahli keluarga, teman-teman rapat dan pihak media. Pasangan itu disatukan oleh Pegawai Tadbir Agama dan Pendaftar Kanan Daerah Gombak, Daim Jajuli pada kira-kira jam 9.12 pagi tadi.

Pihak Farid memberi 5 dulang hantaran dan dibalas dengan 7 hantaran oleh pihak perempuan. Dua hantaran yang menarik adalah sebuah motorsikal oleh pihak lelaki dan motor mini (pocket bike) pemberian pihak perempuan.

Mereka bercadang untuk berbulan madu di Istanbul sebelum bergerak ke Mekah. Namum tarikh masih belum ditetapkan.