Farah Nabilah kongsi rahsia kejelitaan
Afiq Ariffin
Januari 24, 2019 11:08 MYT
Januari 24, 2019 11:08 MYT
Aktres jelita, Farah Nabilah kini mengumumkan pengeluaran produk penjagaan dalaman dan luaran jenamanya sendiri, Fawaa Beauty.
Menurut Farah Nabilah atau nama penuhnya Farah Nabilah Saifuddin, perancangan untuk mengeluarkan produknya ini bermula sejak tahun lepas dan produk tersebut merupakan perkongsian rahsia penjagaan kejelitaannya.
Walaupun sering sibuk di lokasi penggambaran dan aktiviti harian, Farah Nabilah sangat mementingkan penjagaan diri terutamanya secara luaran dan dalaman.
“Saya percaya kita mungkin boleh menutupi cela di wajah menggunakan alat solek. Namun, soal penjagaan dalaman diri pula bagaimana?
“Jika hanya menjaga kecantikan luaran saja namun mengabaikan hal dalaman pun tidak berguna. Penjagaan dalaman dan luaran itu perlu diimbangi,” kata pengasas produk Fawaa Beauty itu.
Menurut Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31 itu, pengeluaran produk ini juga merupakan usaha untuk memberikan manfaat kepada orang lain terutamanya para peminatnya.
Turut berkongsi mengenai perkembangan kerjaya seninya, Farah kini sedang dalam proses penggambaran telefilem Cik Reen Encik Ngok Ngek edisi raya arahan Hadith Omar bergandingan dengan Fikry Ibrahim.
Tambah Farah, tahun ini juga dia ingin memberikan lebih tumpuan terhadap syarikat produksinya sendiri, Fawaadeanfilms.
Selain itu, aktres itu juga terbabit dengan kerja kemanusiaan bersama pertubuhan Asia Development Relief Foundation atau ADRF yang ditubuhkan di Korea Selatan sejak 22 tahun lalu.
Beliau memberitahu media bahawa penglibatannya itu merupakan ruang untuk ‘gives back’ kepada masyarakat.