Fakta atau terlepas cakap? Pemimpin masyarakat Indonesia desak Agnes Monica mohon maaf
Asyraf Roslan
November 28, 2019 15:01 MYT
November 28, 2019 15:01 MYT
SEJAK beberapa hari ini kecoh di media sosial terutamanya di Indonesia mengenai penyanyi negara itu, Agnes Monica, yang kini berusaha membina nama di Amerika Syarikat.
Kekecohan itu bukan kerana lagu baharunya, namun mengenai kontroversi kata-katanya berkaitan asal usul dalam satu sesi wawancara santai - Agnes menyatakan bahawa dia "tidak memiliki darah Indonesia".
Kenyataan Agnes atau nama sebenarnya Agnes Monica Muljoto, 33, itu telah merobek hati rakyat Indonesia kerana merasakan dia langsung tidak sensitif dengan apa yang diperkatakan, malah ramai yang mengatakan bahawa Agnes sudah lupa diri sejak melebarkan sayap ke negara Uncle Sam itu.
Selain warganet, kontroversi itu turut mendapat perhatian golongan pemimpin masyarakat, antaranya seperti Parti Persatuan Pembangunan (PPP) yang mendesak pelantun lagu Matahari itu memohon maaf.
Wakil Ketua PPP, Nurhayati Monoarfa menyatakan, memohon maaf adalah langkah terbaik agar rakyat Indonesia tidak akan terus marah mengenainya.
Sementara itu, Pegawai Khas Dewan Pengarah Badan Pembinaan Ideologi Pancasila (BPIP) Romo Benny Susetyo menegaskan Agnes ialah orang Indonesia, kerana dilahirkan di negara itu.
Namun BPIP tetap mempertikaikan cara pernyataan penyanyi tersebut di dalam wawancara tersebut dan merasakan dia sepatutnya berbangga menjadi rakyat indonesia meskipun dia mempunyai banyak darah campuran.
"Dia seharusnya berbangga menjadi orang Indonesia meskipun mempunyai pelbagai keturunan. Kalau dia lahir di Indonesia, maknanya dia orang Indonesia," tegas Benny kepada media di Indonesia
Kontroversi itu juga, telah mencetus perdebatan dalam kalangan warganet terhadap penyanyi yang kini dikenali sebagai 'Agnez Mo' itu, hingga membahagikan pandangan netizen republik itu kepada dua.
Ramai yang menempelak cara Agnes menjawab soalan dalam wawancara itu. Mereka beranggapan, Agnes tidak menghargai sokongan peminat Indonesia yang membantunya memulakan langkah dalam industri hiburan sejak awal kemunculannya.
Bagaimanapun, ada juga pihak yang membela Agnes, dengan menjelaskan bahawa, kenyataan kontroversi itu hanya dilihat dari satu potongan klip video, tanpa menilai keseluruhan pengisian sesi wawancara itu.
Terdahulu Agnes telah muncul dalam satu wawancara Build Series yang di kendalikan oleh Kevan Kenney di Amerika Syarikat.
Semasa wawancara tersebut, Agnes menyatakan bahawa dia "tidak memiliki darah Indonesia".
Kenyataan tersebut telah membuatkan warganet tidak senang duduk dan menyerangnya di laman sosial.
Ternyata, insiden itu dan respons warganet bukan saja menunjukkan soal fanatisme terhadap selebriti, malah telah membuka semula pelbagai perbincangan mengenai isu kaum minoriti, nilai kewarganegaraan, dan sejarah sosial negara itu.
Namun dalam usaha mempertahankan diri, Agnes telah memuat naik satu kenyataan melalui laman Instagramnya yang meminta masyarakat agar melihat dahulu kandungan penuh wawancaranya dan bukannya terus menjatuhkan hukum terhadap seseorang.