Faizal Tahir manfaat teknologi dalam musim PKP, sebarkan senyuman kepada orang ramai
Afiq Ariffin
Mei 24, 2020 17:57 MYT
Mei 24, 2020 17:57 MYT
SAMBUTAN Syawal pada tahun ini sudah tentu berbeza buat semua umat Islam di negara ini.
Jika dahulu, aktiviti kunjung-mengunjung dan beramah-mesra sesama saudara menjadi amalan rakyat Malaysia dalam meraikan Syawal, amalan itu kini terbatas dek kerana penularan COVID-19.
Bagi penyanyi dan komposer terkenal tanah air, Faizal Tahir meskipun sambutan Syawal kali ini agak terbatas kerana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan pandemik COVID-19, beliau berpendapat bahawa orang ramai sudah mula sedar tentang kepentingan teknologi dalam mengamalkan normal baharu kehidupan.
Hal ini kerana menurut Faizal, di dalam tempoh sukar ini, orang ramai sudah mula bereksperimen dan memanfaatkan teknologi bagi memudahkan urusan seharian.
“Saya rasa tempoh PKP memberi kita dimensi baru buat semua sebab saya rasa tempoh ini buat orang jadi lebih kreatif lebih banyak mencari idea baharu.
“Kalau tidak disebabkan PKP ini kita mungkin tidak akan sedar mengenai kepentingan teknologi yang sebenarnya boleh membantu kita melakukan banyak perkara seperti urusan pekerjaan,” kata Faizal ketika ditemubual dalam rancangan Lebaran AWANI.
Malah, kata Faizal, beliau sendiri telah menggunapakai teknologi dalam urusan pembikinan lagu terbaharunya berjudul “Make it through” bersama penyanyi Zee Avi dan proses pembikinan lagu tersebut terbukti sangat mudah dan menyenangkan.
Hanya dengan berkomunikasi dari rumah menerusi aplikasi Skype, dia dan penyanyi kelahiran Sarawak itu boleh menyiapkan lagu tersebut dalam jangka masa yang singkat tanpa perlu berjumpa secara fizikal.
“Proses pembikinan lagu ini pun saya buat dengan Zee Avi ini pun menerusi Skype, dan ia berjaya disiapkan dalam masa dua hari sahaja.
Malah, Faizal juga tidak ketinggalan menggunakan aplikasi TikTok dalam mempromosikan lagu baharunya itu.
“Walaupun penglibatan saya dalam TikTok ini pada mulanya agak janggal tapi saya cuba juga selepas diyakinkan oleh pengurusan saya.
“Saya rasa kita kena libatkan diri dan ambil peluang serta sentiasa ‘keep up’ dengan teknologi sebab teknologi sentiasa ada kelebihannya tersendiri,” katanya.