Faizal Tahir bersyukur dianugerahkan anak istimewa

Astro Awani
Mac 18, 2022 16:07 MYT
Faizal Tahir bersyukur dan reda dengan takdir Allah yang menghadirkan Maryam Tahirah, anak istimewa yang akan membimbingnya menjadi manusia yang lebih baik dan bersyukur. - Gambar Instagram FAIZAL TAHIR
KUALA LUMPUR: Rasa kesyukuran tidak henti-henti dipanjatkan artis popular tanah air, Faizal Tahir ketika berkongsi rezeki cahaya mata ketujuh yang lahir pada Disember lalu.
Tidak seperti bayi-bayi lain, kehadiran cahaya mata perempuan yang diberi nama Maryam Tahirah itu dilahirkan dengan sindrom down.
Kepada penyanyi yang sangat masyhur dengan lagu Gemuruh itu, biar serba kekurangan sekalipun, namun, Maryam Tahirah adalah anugerah terlalu istimewa buat dia dan seluruh keluarganya.
“Sebulan sebelum isteri bersalin, kami dapat tahu anak dalam kandungan disahkan menghidap sindrom down. Saya menerimanya dengan baik, Alhamdullilah. Reda, itu yang Allah bagi.
"Saya tak ada rasa macam 'down' dan tidak timbul rasa kecewa atau persoal kenapa anak saya dilahirkan sindrom down," kata Faizal dalam perkongsiannya di akaun media sosial peribadinya.
Tidak hanya dia dan isteri, Siti Raihannim bersyukur dengan kurniaan, itu, bahkan, seluruh kaum keluarga dan rakan-rakannya juga memberikan reaksi yang positif sebaik dimaklumkan mengenai cahaya matanya itu.
Maklum balas semua pihak benar-benar menyentuh emosi Faizal.
"Benda pertama yang keluar daripada mulut mereka ialah Masya-Allah, SubhanAllah, Allah kurniakan kepada kau anak syurga 'bro'. Masa itu hati saya dengar memang tersentuh.
"Ada juga yang mengatakan tak semua orang dapat, saya insan terpilih untuk diberikan anak yang 'istimewa'. Alhamdulillah benda ini sangat memberi semangat dan memberi kekuatan kepada saya dan isteri,” ujar Faizal lagi.
Ketika mendengar penjelasan daripada doktor, Faizal dimaklumkan bahawa Maryam Tahirah sangat-sangat memerlukan perhatiannya kerana dia berbeza daripada anak-anak lain.
Kata doktor kepada Faizal: “This baby really needs you.”
Namun, seketika selepas memikirkan ayat yang keluar dari mulut doktor berkenaan, Faizal jauh memandang masa depan dan mengingatkan bahawa realitinya, bayi suci itu adalah kunci kepadanya untuk melalui sebuah kehidupan yang lebih baik pada masa depan.
“Bukan anak saya ini yang perlukan saya… (sebaliknya) saya yang sangat perlukan anak saya untuk menjadi manusia yang lebih baik dan untuk saya menjadi manusia yang lebih bersyukur,” kata Faizal.
AWANIxGEMPAK | Maryam Tahirah anugerah tidak ternilai
Dalam perkongsian itu, Faizal bercerita, Maryam Tahirah disahkan menghidap sindrom down sejak dalam kandungan lagi.
"Sewaktu Maryam Tahirah dalam kandungan, doktor dapat kesan ada beberapa masalah dan komplikasi. Mula-mula itu jantung, kemudiannya disahkan sebagai 'tetralogy of fallot' (TOF). Campuran darah dan oksigen tak cantik.
"Itu masalah pertama yang doktor dapat kesan. Masa tu dah dapat tahu memang nak kena bedah jantung dia selepas lahir. Jadi kami pun dah kena siap sedia untuk itu, mental, fizikal dan kewangan.
"Beberapa bulan lepas itu, buat pemeriksaan lagi, doktor periksa lagi, dapat tahu ada masalah lain iaitu 'double bubble' (Duodenal atresia) dalam perutnya. Apabila doktor kesan benda ini, dan dikatakan pula dengan masalah komplikasi jantung tadi, doktor nak beritahu agak berat, sehinggalah laporan mengesahkan Maryam menghidap sindrom down," kata Faizal yang juga bapa kepada tujuh cahaya mata iaitu tiga lelaki dan empat perempuan termasuk Maryam Tahirah.
Perkongsian Faizal itu turut mendapat reaksi daripada banyak orang termasuk artis terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang menyifatkan kehadiran Maryam Tahirah dalam keluarga Faizal adalah sebagai malaikat kecil kiriman Allah SWT.
"Subhanallah… Allahuakhbar… perkongsian yang istimewa & banyak pelajaran.. Hebatnya Mariam.. malaikat kecil kiriman Allah SWT," tulis Siti Nurhaliza di ruangan komen.
Penyanyi Ernie Zakri yang baru saja melahirkan cahaya mata sulung pula menitipkan doa semoga Maryam Tahirah membesar dengan baik dan sihat.
#Faizal Tahir #anak istimewa #Maryam Tahirah #Sindrom Down
;