Faizal Tahir ajar anak tak terlalu seronok sambut raya tahun ini

Azyyati Ahmad
Julai 28, 2014 08:00 MYT
Faizal Tahir belum lagi merancang untuk menerbitkan single atau album baru buat masa terdekat
Penyanyi serta pencipta lagu, Faizal Tahir mengakui bahawa tahun ini dia mengajar anak-anaknya agar tidak terlalu seronok menyambut raya susulan tragedi pesawat MH17 yang melanda negara dan perang di Gaza.
Menurut Faizal, ini adalah bagi menghormati rakan taulan dan ahli keluarga penumpang pesawat MH17 yang masih bersedih serta umat Islam yang ditindas di Palestin.
Penyanyi lagu Mahakarya Cinta ini berharap agar insiden malang yang melanda negara itu akan membawa seluruh rakyat Malaysia bersatu dalam kesedihan.
“Persiapan raya tidak meriah sangat, ini kerana pelbagai perkara yang berlaku sekarang seperti MH17 dan perang di Gaza.
“Saya turut mengajar anak-anak saya agar tidak terlalu seronok menyambut raya tahun ini kerana masih lagi ada yang menderita dan bersedih” katanya yang ditemui ketika majlis perlancaran album terbaru Datuk Siti Nurhaliza, Fragmen di ibu negara baru-baru ini.
Faizal yang merupakan pencipta lagu ‘Aku’ dalam album Fragmen Siti mengakui bahawa buat masa sekarang dia selesa menulis lagu kerana ianya memberikan satu pengalaman baru buat dirinya.
Bapa kepada lima anak ini juga sudah lama tidak muncul dengan lagu baru turut memberitahu bahawa dia belum lagi merancang untuk menerbitkan single atau album buat masa terdekat.
“Buat masa sekarang saya sibuk dengan pembikinan lagu untuk beberapa artis.
Jika kembali dengan lagu baru, saya akan pastikan karya saya berbeza dari dahulu dan lebih bagus” kata Faizal.
Selain Siti, Faizal turut mencipta lagu buat Aliff Aziz dan Faizul AF.
#Faizal Tahir #Gaza #MH17
;