Fahmi ucap takziah kepada keluarga Hamdan Senario
Bernama
Januari 5, 2024 19:43 MYT
Januari 5, 2024 19:43 MYT
KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengucapkan takziah kepada keluarga anggota kumpulan Senario Hamdan Ramli atau nama sebenar Ahmad Hamdan Mohamed Ramli yang meninggal dunia tengah hari tadi.
Fahmi menerusi catatan di Facebook mendoakan semoga keluarga Allahyarham tabah dengan pemergian itu.
"Innalillahi wa inna ilaihi raji'un. Kita semua membesar dengan lawak kumpulan Senario. Hari ini kita terima khabar yang sangat duka.
"Salam takziah buat keluarga Allahyarham Hamdan Ramli, pelakon dan pelawak, yang telah meninggal dunia sebentar tadi," menurut catatan itu.
Hamdan, 54, meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor kira-kira 12.50 tengah hari tadi dan akan dibawa ke Ipoh, Perak untuk dikebumikan.
Allahyarham meninggalkan isteri Norhamalini Ahmed, 53, serta empat orang anak Muhamad Zeyreen Misha, 31, Muhamad Nazreen Aiman, 28, Muhamad Syazreen Haqem, 25, dan Nur Natasya Umairah, 21.
Pada 1 Jan lepas, kumpulan Senario dilaporkan memohon peminat agar mendoakan kesembuhan rakan mereka, Hamdan yang telah ditidurkan di HSA selepas didapati mengalami komplikasi buah pinggang.
-- BERNAMA