Fahmi ucap takziah kepada keluarga Allahyarham Rohana Jalil
Bernama
Jun 21, 2023 12:22 MYT
Jun 21, 2023 12:22 MYT
KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil merakamkan ucapan takziah kepada keluarga bekas penyanyi terkenal tanah air, Rohana Jalil yang meninggal dunia semalam.
"Innalillahi wa inna ilaihi raji'un. Sedih mendengar berita kehilangan penyanyi terkenal tanah air, Rohana Jalil. Semoga keluarga Allahyarham tabah dengan ujian ini. Al-Fatihah," katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasminya.
Terdahulu, media tempatan melaporkan Rohana, 68, yang dimasukkan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sejak dua bulan lepas akibat kebocoran usus, menghembuskan nafas terakhir pada 11.33 malam tadi.
Allahyarham Rohana atau nama sebenarnya Dara Abdul Jalil terkenal dengan lagu Rayuanku dan Jangan Main Mata dan Naluri Cinta, dilahirkan pada 18 Februari 1955 di Kota Tinggi, Johor dan mula menceburkan diri dalam bidang seni selepas memenangi pertandingan Bintang RTM pada 1980.
Sepanjang pembabitannya dalam bidang nyanyian tanahair, Allahyarham telah merakamkan lebih 20 album.
Jenazah Allahyarham dilaporkan akan dibawa ke Masjid Al-Falah, USJ9, Subang Jaya untuk urusan solat jenazah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ21, Subang Jaya sebelum waktu Zuhur, hari ini.
-- BERNAMA