Fadilah Karim & Shafiq Nordin - Menghancurkan stigma seni sebagai karier

Daily Seni
Mei 15, 2015 18:16 MYT
Fadilah Karim & Shafiq Nordin Menghancurkan Stigma Seni Sebagai Karier
Tolak tepi nilai-nilai ideal yang ada pada estetik itu sendiri. Fikirkan secara benar adakah di negara kita, pengkarya seni itu merupakan suatu karier yang dipandang tinggi oleh masyarakat? Seni dihargai hanya sekadar permukaan, dan penghargaan ini merupakan kayu ukur keterlibatan rakyat kita sendiri.
Iya benar, mungkin kepada sesiapa yang membaca hasil temuramah ini, ada sahaja yang sudah lama berkecimpung di dalam industri seni itu sendiri – tetapi bagaimana dengan rakyat Malaysia yang lain?
En. Dinsman, seorang budayawan dan juga aktivis masih berusaha untuk memupuk semula minat yang mendalam terhadap seni itu sendiri melalui aktiviti Jelajah Budaya–nya, ianya jelas menunjukkan bahawa seni tidak dihargai dengan betul. Langsung timbul pelbagai persoalan mengenainya, adakah ianya salah pendidikan, pemimpin, ataupun yang lebih dekat, diri kita sendiri?
Penghargaan seni itu sendiri, jika tidak ditelusuri dengan mendalam bakal mengakibatkan pelbagai jenis faktor yang negatif. Persepsi terhadap seni, di dalam konteks tulisan ini sebagai karier menjadikan kebanyakkan para pengkarya tidak mampu untuk menjadikan seni itu sebagai kerjaya utama mereka. Ada sahaja yang mengambil jalan alternatif, bekerja secara sambilan menggunakan kebolehan mereka sebagai servis kepada syarikat-syarikat tempatan. Seni harus dirungkaikan semula kepentingannya.
Penyebaran mengenai industri seni, ataupun mengenai kondisi dan realiti pengkarya itu sendiri harus sentiasa dinyatakan, agar kesedaran mengenai masalah yang senantiasa membelenggu industri yang ada mampu diatasi ataupun diselesaikan kearah yang lebih bagus – baik dari segi perlaksanaan daripada pihak atasan ataupun penghargaan yang lebih mendalam daripada pihak awam.
Seni Sebagai Karier – Perspektif Anak Muda
Stigma yang berterusan mengenai industri kreatif barangkali dapat dikaitkan dengan penekanan yang dilaksanakan sewaktu negara kita sedang pesat membangun pada tahun 1980an. Barangkali disebabkan itu, yang hanya diberikan keutamaan adalah pembangunan infrastruktur dan pembentukan kerangka pemikiran dimana yang berjaya itu ditentukan oleh kebolehan setiap individu di negara kita untuk ‘memiliki sesuatu’ dan bukannya untuk ‘menjadi seseorang’.
Karya Fadilah Karim
Karya-karya Fadilah Karim (dari kiri): Beautiful Tangle (2013) & Sleepless Night#2 (2014)
Jadi keutamaan seperti itu membentuk haluan hidup yang menolak seni ataupun nilai estetik sebagai salah satu faktor untuk berjaya, sebaliknya seni sebagai karier terpinggir di dalam rat race zaman kini. Tidak dapat dinafikan bahawa seni itu, jika benar-benar ingin melakukannya – mampu sahaja hidup dengan aman. Tetapi yang ditekankan disini adalah sudut pandang seni secara umum dan realiti yang membelenggu definisi seni itu sendiri.
Industri seni itu sendiri merupakan sesuatu yang kompleks. Lihat sahaja kerjasama para pengkarya dengan galeri dan pengumpul karya, ianya jelas membuktikan bahawa karier di dalam industri seni itu dapat dilihat sebagai aset yang mampu melonjakkan tingkat tamadun kita, dan memperkayakan nilai budaya kita sendiri.
Jadi disinilah anak-anak muda seperti Fadilah Karim dan Shafiq Nordin dilihat sebagai salah satu tenaga yang konsisten ingin menafikan stigma seni sebagai karier, dan berusaha untuk membuktikan bahawa seni itu turut dilihat sebagai suatu bentuk perniagaan yang serius, tidak remeh dan juga berusaha seperti mana-mana perniagaan pun. Sejak enam tahun yang lepas, kedua-dua graduan UiTM ini telah terlibat di dalam pelbagai pameran, menang beberapa anugerah, dan telah lama disokong oleh para pengumpul karya selama beberapa tahun mereka berkarya.
Karya-karya Shafiq Nordin
Karya-karya Shafiq Nordin – Dari kiri: Ways To Sublime (2014) & We Fight For Nothing (2014)
Jadi sudut pandang mereka – mengenai realiti industri yang ada, kelemahan dan kekuatan yang memberi harapan kepada kerja mereka tidak harus dibiarkan senyap begitu sahaja. Ianya harus diberi ruang yang sepatutnya, kerana saya dan juga pembaca dapat juga memainkan peranan kita untuk memulakan wacana mengenai seni dan hala tuju kebudayaan kita sendiri. Melalui hasil temuramah ini, ianya sedikit sebanyak mampu membuka tirai kepada sudut pandang yang baru, bukan daripada saya ataupun pembaca – tetapi daripada sudut pandang pengkarya anak muda di sini. Mereka membuktikan bahawa seni itu juga harus diusahakan secara professional dan tiada beza realitinya dengan karier-karier professional yang wujud.
Mengikut konteks negara Malaysia, masih wujudkah kategori seni yang berbeza (sebagai contoh perbezaan diantara seni bertingkat tinggi dan seni rendah-yang hanya mampu dihargai oleh rakyat biasa)?
FK: Bagi saya, seni itu seni – tidak wujudnya pelbagai jenis tingkat. Mungkin audien yang tentukan tingkat seni itu sendiri. Orang biasa mampu hargai tetapi untuk ianya bukan untuk semua orang.
SN: Tingkat seni itu bagi saya berdasarkan tahap penilaian audien itu. Contohnya, artis akan banyak terlibat dengan pengumpul karya, pengkritik seni, mahasiswa, dan juga artis-artis yang lain. Jadi definisi tingkat itu sendiri merupakan sesuatu yang sukar untuk ditentukan. Agak susah untuk buat orang faham / audien faham – barangkali setiap karya itu dapat difahami berdasarkan beberapa individual sahaja. Sebagai contoh pemandu teksi, kita tak boleh salahkan pemandu teksi itu jika mereka tidak dapat menghargai seni. Rakyat biasa tidak diajar untuk menghargai seni sebagaimana ianya harus dihargai.
Karya-karya Fadilah Karim 02
Karya-karya Fadilah Karim – Dari kiri: Man And His Anxiety (2014) & The Lonesome Painter (2015)
Apakah fungsi seni menurut kalian?
FK: Untuk kerjaya saya, sebahagian daripada perniagaan saya sendiri.
SN: Seni sebagai karier. Hidup berkerja dengan menggunakan karya yang kami lakukan. Susah macam mana pun, kami akan cuba buktikan bahawa menerusi seni kami mampu hidup. Dari segi fungsi seni, akan terjadi apabila wujudnya orang yang mampu menghargai karya saya sendiri.
Apakah persoalan mengenai definisi seni itu merupakan persoalan yang penting – adakah ianya mempunyai tradisi yang signifikan di dalam negara kita?
FK: Rasanya jarang diantara artis yang mempersoalkan soalan seperti itu. Walaupun ada juga ahli akademik yang mempersoalkannya, tetapi persoalan itu jarang dibincangkan.
SN: Rasanya itu sendiri bergantung kepada artis itu sendiri – masing-masing mempunyai naratif mereka sendiri, metafor dan juga simbolisme yang mereka pegang. Rasanya setiap artis ada punya keutamaan mereka sendiri. Jadi bagi kami, ianya lebih kepada seni sebagai karier.
Apakah kekurangan yang jelas ternampak di dalam sistem pendidikan kita – adakah stigma yang wujud terhadap definisi seni itu merupakan sesuatu yang serius sehingga ianya menggangu karier kalian sebagai artis?
FK: Walaupun ianya masih wujud, iaitu seni sebagai karya dilihat sebagai sesuatuStigma seni bukan sesuatu yang serius.
SN: Mentaliti orang ramai pun sudah jelas ternampak. Banyak yang nampak karier artis itu sebagai hobi dan tidak lebih daripada itu. Ianya juga lebih kearah perniagaan juga, keterlibatan kami dengan galeri, pengumpul karya, kurator. Kami semua seringkali memikirkan tentang hala tuju setiap karya yang bakal dihasilkan ataupun signifikannya karya / pameran itu sendiri.
Adakah nilai-nilai seni yang tinggi itu tidak lagi dihargai oleh rakyat malaysia (mahasiswa / ahli akademik / ahli politik / rakyat biasa)? Jika ya, apakah sebab-sebab utama?
FK: Rakyat Malaysia terlalu besar. Ahli akademik ataupun mahasiswa masih menghargai karya seni itu sendiri. Sekarang orang luar lebih banyak terdedah dengan seni itu sendiri, jika ingin dibandingkan dengan waktu dahulu.
SN: Mahasiswa masih mampu dan meminati seni itu sendiri. Masih wujud usaha mahasiswa daripada jurusan lain yang mengambil tahu tentang keberadaan kami, dan bagaimana proses kami menghasilkan karya.
Untuk artis generasi bawah umur 30an, apakah masalah identiti ataupun masalah perkauman itu tidak lagi diutamakan?
FK: Saya banyak menghasilkan karya berdasarkan pengalaman peribadi saya sendiri. Tetapi ada jenis artis yang menghasilkan karya mengenai kondisi seni ataupun politik – tetapi bukan isu perkauman.
SN: Jikalau kepada isu identiti itu akan jelas apabila artis Malaysia membawa isu peribadi ke ruang ataupun audien antarabangsa.
Soalan terakhir, apakah motivasi ataupun nasihat kepada anak-anak muda yang ingin menjadikan seni sebagai karier utama mereka?
FK: Untuk anak-anak muda yang ingin menjadikan seni sebagai kerjaya, terutamanya kepada perempuan yang ingin menjadi artis, mereka perlu mengenal pasti tujuan mereka, kerana dalam kerjaya ini hanya segelintir sahaja yang survive berbanding lelaki. Mereka perlu berani untuk berdikari dan mendisiplinkan diri. Mereka perlu percaya kepada bakat sendiri. Melalui pengalaman saya, pada awal karier waktu paling sukar, perlu bijak bergaul dengan para pengkarya yang lain, pengumpul karya dan galeri. Jangan mudah putus asa dan perlu bersedia untuk menghadapi kritikan dan penolakan.
SN: Untuk anak-anak muda yang ingin menjadikan seni sebagai kerjaya, mereka perlu pastikan dahulu apa matlamat mereka untuk berkarya, maksudnya perancangan jangka pendek dan jangka panjang. Kerana untuk menjadi seorang artis, mereka perlu berdikari dan merancang semuanya sendiri.
Jangka masa satu atau dua tahun di dalam dunia seni adalah masa yg paling sukar bagi seorang artis muda kerana masa itulah mereka perlu belajar dan mencari pengalaman. Mereka perlu bersikap positif dalam menerima setiap kritikan. Mereka perlu mencari gaya dan identiti sendiri, collector base, galeri yang mewakili mereka dan banyak lagi. Selain itu, kesungguhan untuk memberikan yang terbaik dalam menghasilkan karya sangat penting bagi memastikan karya mereka setaraf atau lebih baik dari artis sedia ada.
*Fadilah Karim dan Shafiq Nordin bakal terlibat di dalam pameran ADA Show (Ara Damansara Artist) di Segaris Art Center pada 20hb Mei 2015.
#Daily Seni #Fadilah Karim #Seni #Shafiq Nordin
;