Fad dan Achey luah kesedihan, seakan tidak percaya pemergian Abam Bocey

Sahlizah Mohamed, Farhana Joni
Februari 10, 2020 10:29 MYT
Fad dan Acey Bocey sukar untuk menerima pemergian Abam selepas pelawak itu disahkan meninggal dunia awal pagi ini di kediamannya di Gombak.
INDUSTRI hiburan tanah air dikejutkan dengan berita menyedihkan pada Isnin apabila pelawak popular Abam daripada kumpulan Bocey meninggal dunia.
Allahyarham yang nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Gombak.
Pemergian secara tiba-tiba itu amat dirasai dua rakan baiknya, Fad dan Achey.
Achey atau nama sebenarnya Mohd Nasir Hamzah menangisi pemergian Abam yang terkenal dengan tagline "Gemuk is Awesome."
Menerusi hantaran status dan video di akaun Instagram, Achey seolah-oleh tidak mempercayai rakan baiknya itu telah tiada.
"Kenapa awal sangat bam!!! Mana janji kau..!!
"Ya Allah, guys abam dah takde guys..," tulisnya.
Video itu telah menerima 608,000 tontonan dan lebih 8,000 komen daripada para netizen yang rata-rata turut terkejut dengan berita tersebut.
Sementara itu, Fad menitipkan ucapan takziah menerusi akaun Instagram miliknya buat Abam.
Fad yang atau nama sebenarnya Muhammad Fadzlie Mohd Nizam difahamkan berada di Jepun bersama keluarga.
“Bismillahirahmanirrahim...Assalamualaikum...saya mohon doakan kekanda saya Syed Umar Mukhtar atau Abam telah pulang ke Rahmatullah, Allahu Akhbar,” luahnya di Instagram.
Dalam pada itu, kapsyen di Instagram Fad turut meluahkan rasa sedihnya apabila dia tidak berada di Malaysia pada waktu pemergian Abam.
“Allahhuakbar, Allahhuakbar, Allahhuakbar, innalillahiwainnailaihirojiun.. kenapa kau pergi dulu bam? kenape tak tunggu aku,aku jauh ni,aku nk peluk cium kauuuuuuuuu,” tulisnya.
BACA: Pelawak Abam Bocey meninggal dunia
Sementara itu, isteri Abam, Siti Norhidayah Mohd Ali turut mengesahkan perkara tersebut.
Hidayah memberitahu Allahyarham demam dan mengadu kurang sihat sejak dua hari lalu.
“Beberapa hari lepas dia demam dan mengadu sakit kepala. Tetapi bila ajak ke hospital, dia tak mahu.
“Katanya hanya demam dan sakit kepala biasa. Tapi... pagi tadi saya kejutkan untuk solat subuh, namun dia tak ada tindak balas daripada dia,” katanya menangis teresak-esak.
Abam dan Nor Hidayah berkahwin pada 2017 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey bin Syed Umar Mokhtar Al-Juffrey, 5 bulan.
#Abam Bocey #Acey Bocey #Bocey #Fad Bocey #hiburan #Hospital #Instagram #Maharajalawak #meninggal dunia
;