Erti sebenar hari raya menerusi Purnama Lebaran
Irwan Muhammad Zain
April 29, 2021 13:54 MYT
April 29, 2021 13:54 MYT
SEMPENA perayaan Aidilfitri yang bakal menjelma, kumpulan rock nusantara, Pitahati muncul dengan sebuah lagu berjudul Purnama Lebaran.
Lagu dan lirik yang ditulis sepenuhnya oleh kumpulan tersebut merupakan lagu raya mereka yang pertama dan telah dirakam pada 2019.
Purnama Lebaran siap sepenuhnya ketika negara dilanda gelombang pertama pandemik COVID-19 tahun lalu.
Menurut vokalis dan gitaris Pitahati, Ilham, Purnama Lebaran adalah cubaan pertama Pitahati untuk mengetengahkan erti sebenar hari raya di samping mendalami erti hari raya itu sendiri.
"Perkara ini adalah sesuatu yang telah kian lama kian hilang dalam masyarakat Islam zaman sekarang.
"Di mana kebanyakan orang hanya melihat hari raya itu sebagai sebuah perayaan dan bukan sebagai sesuatu yang melambangkan kemenangan insan dalam memerangi hawa nafsu dan sifat-sifat keduniaan," katanya.
Untuk memastikan mood dan jiwa yang terdapat pada lirik Purnama Lebaran, Pitahati telah mengambil unsur-unsur lagu kerakyatan Melayu lama untuk menghadirkan perasaan nostalgia.
Pitahati menganggap perasaan nostalgia itu merupakan sesuatu yang sering dialami setiap indvidu apabila menyambut hari raya.
Purnama Lebaran boleh didengari di platform streaming Spotify dan Joox selain video lirik di YouTube.
Selain Purnama Lebaran, Pitahati juga bakal melancarkan sebuah kolaborasi dengan Ito, penyanyi kumpulan lagenda Blues Gang.
Tidak ketinggalan, Pitahati juga sedang dalam proses menghasikanl album baharu selepas lima tahun tidak menerbitkan sebarang album studio.