Erra Fazira tidak tahu menahu hal rumah tangga Engku Emran, Noor Nabila
Faida Rahim
Februari 26, 2023 18:00 MYT
Februari 26, 2023 18:00 MYT
KUALA LUMPUR: Artis popular tanah air, Erra Fazira menegaskan, dia enggan masuk campur atau terlalu mengambil tahu mengenai spekulasi rumah tangga bekas suaminya, Engku Emran Engku Zainal Abidin dengan Noor Nabila yang dilaporkan berantakan.
Menurut Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, dia hanya mengetahui daripada media massa berikutan dakwaan status perkahwinan ketiga Engku Emran yang menjadi tanda tanya ramai.
“Saya tidak masuk campur urusan bekas suami saya. Saya menghormati kehidupan dia dan tidak pernah bertanya you ada masalah ke? You okey?... tiada,” komen Erra.
Pelakon dan penyanyi berusia 49 tahun itu berkata demikian kepada pemberita sebagai mengulas laporan media tempatan sejak beberapa hari lalu mengenai dakwaan hubungan Engku Emran dan Noor Nabila tidak sehaluan.
Dalam masa sama, pelakon filem Sembilu dan Maria Mariana itu yang ditemui di majlis pelancaran duta produk pengeluar makanan ringan berasaskan jeli jenama Captain Dolphin mengakui, dia menghormati perasaan anaknya, Engku Aleesya dengan tidak mengajukan soalan yang disifatkan sensitif memandangkan Engku
Emran adalah bapa kandungnya.
“Saya tidak mahu anak saya terganggu dengan soalan ‘how’s daddy?’, ‘Is mommy okey?’. Saya buat macam biasa. Kalau dia nak share (kongsi)… dia share, tidak mengapa (kalau tidak berkongsi).
“Jika anda tanya saya, anda semua akan hampa kerana saya tidak tahu,” jelas Erra lagi.
Erra dan Engku Emran pernah mendirikan rumah tangga pada 25 Oktober 2007 dan berpisah tujuh tahun kemudian.
Menerusi perkahwinan itu, Erra dan Engku Emran dikurniakan seorang anak perempuan, Engku Aleesya yang kini berusia 13 tahun