Erra Fazira tidak campur hal rumah tangga Engku Emran
Astro Awani
Julai 13, 2020 18:53 MYT
Julai 13, 2020 18:53 MYT
Artis terkenal, Erra Fazira tidak pernah bertanya, jauh sekali mengorek lebih lanjut berita keruntuhan rumah tangga bekas suaminya, Engku Emran dengan pelakon ternama Indonesia, Laudya Cynthia Bella.
Menurut artis jelita itu, memandangkan Engku Emran juga tidak berkongsi apa-apa mengenai masalah rumah tangganya, lalu Erra menyifatkan tidak manis untuk dia 'menyibuk' hal berkenaan.
“Saya tak campur hal rumah tangga mereka. Mereka pun tak pernah bercerita mendalam. Tipulah saya tak tahu pergolakan yang berlaku.
“Walaupun dia bekas suami dan bapa kepada anak saya, saya tak mahu korek. Cukup tahu sikit sikit di peringkat permukaan. Saya tak pernah tanya kenapa apatah untuk mengorek lebih lanjut
“Sebagai wanita kami ada berbicara menerusi teks, tapi hanya perkara-perkara umum sahaja, tidak begitu terperinci.
“Bella juga tidak bercerita lebih kepada saya. Memang kami rapat tapi tidaklah selalu berhubung,” kata Erra
menjawab pertanyaan media mengenai laporan perpisahan Engku Emran dengan Laudya Cynthia Bella baru baru ini.
Pelakon dan penyanyi kesayangan ramai itu menegaskan, dia amat percaya bahawa di sebalik keruntuhan rumah tangga Engku Emran yang juga bapa kepada anak mereka, Engku Aleesya dengan Laudya Cynthia Bella ada hikmah yang menanti.
“Dalam setiap pahit tu ada pasti hikmah dan manisnya. Allah uji kerana sayang. Ada ganjarannya itu. Bersabar saja
“Saya sedar anak saya pun sedih dengan berita itu. Dia pun sayang Bella. Saya percaya bapanya pun bersedih dengan apa yang berlaku,” kata Erra atau nama sebenarnya, Fazira Wan Chek, 46,
berkongsi pendapat peribadinya.
Laudya Cynthia Bella pada 1 Julai lalu membuat pengakuan di laman media sosialnya bahawa rumah tangga dia dan Engku Emran sudah berakhir secara baik.
Kenyataan Laudya Cynthia Bella itu sekali gus melenyapkan pertanyaan peminat dan media mengenai status pasangan berkenaan ekoran pelakon terkenal itu sudah kembali menetap di Jakarta.
Baik Engku Emran dan Laudya Cynthia Bella juga sudah tidak berkongsi sebarang foto mereka berdua di akaun Instagram sejak sekian lama menyebabkan pelbagai spekulasi diperkatakan.
Sementara itu, Erra mengakui, dia kembali jatuh cinta, namun, perasaan itu bukanlah merujuk pada bertemu buah hati baharu, sebaliknya, kecintaan itu adalah pada produk penjagaan rambut Faith Fleur yang melantiknya sebagai duta.
Kata seniwati tersohor tanah air itu, tiada apa yang mampu diungkapkannya selain bersyukur kerana masih diberi kepercayaan untuk menjadi jurucakap bagi sesebuah produk.
“Saya percaya rezeki tidak salah alamat. Saya amat mensyukuri nikmat rezeki yang Allah panjangkan. Soal aktif atau tidak mahupun persaingan dengan artis generasi baru itu semuanya bersifat subjektif.
“Untuk masih dipandang relevan hingga diberi kesempatan menjadi wakil jenama produk, saya berterima kasih kepada mereka yang memberi kepercayaaan,” katanya.
#Engku Aleesya
#Engku Emran
#Erra Fazira
#jurucakap
#Laudya Cynthia Bella
#produk penjagaan rambut
#Rumah Tangga