Ernie Zakri, Syamel bakal buat konsert hujung tahun ini
Gempak
Julai 24, 2022 17:37 MYT
Julai 24, 2022 17:37 MYT
PENYANYI duet bervokal lantang, Ernie Zakri dan Syamel bakal mengejutkan peminat dengan konsert sulung mereka pada hujung tahun ini.
Menurut pemilik nama Nur Ernie Shahirah Zakri, 29, tarikh rasmi belum dapat dikongsikan kerana konsert berkenaan masih pada tahap persiapan.
“Alhamdulillah banyak plan saya bersama pihak naungan (Rocketfuel) untuk tahun ini dan hadapan selepas kita sudah berehat lama disebabkan COVID-19.
“Insyallah Ernie dah Syamel akan buat satu konsert pada hujung tahun ini, cumanya tarikh itu kami akan maklumkan kelak, sekarang masih belum boleh lagi.
“Secara rasminya bermula bulan depan (Ogos) kami akan memulakan promo untuk konsert saya dan Syamel.
“Sebenarnya banyak lagi yang sedang dirancangkan dan ada beberapa hal juga yang sudah diselesaikan untuk konsert berkenaan,” katanya kepada Gempak.
Tambah Ernie, satu kejutan terbesar akan dihadiahkan kepada peminatnya yang hadir pada konsert berkenaan.
“Kami akan janjikan yang gempak-gempak untuk semua penonton kami yang akan hadir pada konsert tersebut dan yang istimewanya ada lagu baharu yang kami akan nyanyikan pada malam itu.
“Untuk progress konsert pula baru 40 peratus lebih kurang macam itu, sebabnya ada lagi beberapa hal yang perlu dikemaskini lagi.
“Kami juga perlu berjumpa dahulu dengan pengarah muzik kami berkenaan arrangement, termasuk beberapa hal lain akan diperincikan lagi pada meeting seterusnya.
“Tapi apa yang boleh saya katakan disini, konsep itu sangat dekat dengan peminat kami berdua,” ujar Ernie.
Sekadar informasi, Ernie Zakri dan Syamel telah selamat bergelar suami isteri pada 26 Mac 2021 dengan berwalikan bapa kepada Ernie, Zakri Amad, dalam majlis yang berlangsung di Masjid Puncak Alam.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan bernama Nur Khawla Soleha yang kini berusia lima bulan.
*Artikel asal disiarkan di Gempak