Haziq yang mempunyai pengalaman dalam industri penyiaran radio diyakini dapat mengendalikan segmen PETANG ERA dengan baik.
Manakala Shasha pula adalah penyampai radio baharu dan pernah menjadi hos media digital The Hardest Singing Show yang baru-baru ini.
Pengurus Saluran Radio ERA Azah Sahrin berkata pemilihan Haziq dilihat wajar kerana dia memiliki pengalaman tersendiri dalam dunia penyiaran radio.
“Meskipun berehat seketika dalam dunia penyampaian radio sekitar hampir tiga tahun namun ia masa yang sesuai dilihat untuk kembali semula ke bidang diminatinya.
“Cara penyampaiannya yang bersahaja dan mudah mesra dengan pendengar antara faktor Haziq dilamar untuk menjadi sebahagian keluarga besar ERA.
“Ia sekali gus dapat membawa pengaruh dan peminatnya untuk mendorong ERA menjadi pilihan radio nombor 1 di Malaysia," katanya.
Dalam pada itu, katanya ERA memilih Shasha bagi segmen itu kerana dia memiliki pakej lengkap untuk diketengahkan.
“Kerjayanya bermula di ERA hanya sebagai penyampai radio sambilan namun melihat ketekunan dan semangatnya dalam industri radio membuatkan ERA memilihnya.
“Shasha juga memiliki personaliti menawan dan mudah tersenyum setiap kali berinteraksi dengan pendengar ERA.
“Gandingan Haziq dan Shasha dapat menjadikan PETANG ERA lebih segar dan bertenaga untuk menarik pendengar ERA yang berusia sekitar 10 hingga 29 tahun," katanya.
Dengarkan PETANG ERA setiap Isnin hingga Jumaat jam 4 petang hingga 8 malam dan ikuti ERA di media sosial rasmi untuk berita terkini, kemas kini dan kandungan eksklusif.