Epik! Lagu "Di Rumah Aja" dalam 42 dialek dari daerah Indonesia curi tumpuan

Hasimi Muhamad
April 16, 2020 12:13 MYT
Kolaborasi sulung itu melibatkan warganet di seluruh Indonesia, sebelum Eka Gustiwana menggabungkan semua video tersebut menjadi sebuah karya unik. - Foto Astro AWANI
PELBAGAI idea dan inisiatif kreatif dilakukan oleh beberapa pihak termasuk selebriti tanah air dan luar negara dalam usaha menyeru masyarakat untuk terus kekal berada di rumah bagi mengekang pandemik COVID-19.
Di Malaysia, sebelum ini beberapa selebriti terkenal termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza turut menggunakan kaedah bersahaja dalam mendidik masyarakat dengan mengubah suai lirik lagu dendangannya, 7 Nasihat.
Terbaharu, penulis lagu dan komposer terkenal Indonesia, Eka Gustiwana turut mencuri tumpuan warganet selepas menghasilkan lagu “Di Rumah Aja” dalam 42 bahasa.
Menerusi video yang dimuat naik di laman YouTube beliau pada 10 April lalu, Eka Gustiwana, 31, mengajak rakyat dari seluruh daerah di republik itu supaya menyanyikan bait lirik “Di rumah aja” menggunakan dielek daerah masing-masing.
Kolaborasi “sulung” tersebut melibatkan wargenet di seluruh Indonesia, sebelum Eka Gustiwana menggabungkan semua video tersebut menjadi sebuah karya unik.
Komplikasi video dari pelbagai daerah di Indonesia itu antaranya menggunakan bahasa Mee Papua (Papua); Ambon; Tanimbar (wilayah Maluku); Manado (Sulawesi Utara); Toraja (Sulawesi Selatan); Kaili (Sulawesi Tengah); Dayak Kanayatn (Kalimantan Barat); dan Melayu (Kalimantan Tengah).
Setakat ini, video tersebut mendapat lebih 600,000 tontonan.
Sebelum ini, Eka Gustiwana turut menghasilkan sebuah lagu untuk didedikasikan kepada petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus mengekang penularan COVID-19.
Pandemik COVID-19 yang mula dikesan di wilayah Hubei, China sehingga kini merekodkan lebih 2 juta kes positif dengan 134,000 kematian di seluruh dunia.
Jadi, dalam usaha memutuskan rantaian penularan COVID-19, beberapa negara terlibat telah mengambil langkah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Berkurung.
Justeru, semua masyarakat disaran agar terus mematuhi arahan pihak berkuasa dengan kekal berada di rumah.
#42 dialek #COVID-19 #Indonesia #Malaysia #Siti Nurhaliza #YouTube
;