Enot derita penyakit kanser usus tahap dua
Azyyati Ahmad
Mei 8, 2014 09:49 MYT
Mei 8, 2014 09:49 MYT
Pelakon komedi Enot atau nama sebenarnya Aliza Abdullah mendedahkan yang dia kini sedang menderita sakit kanser usus tahap dua.
Menurut laman portal hiburan OhBulan, pelakon yang mula dikenali dengan drama Enot, Mat Despatch dan Odah Drebar ini dikatakan kelihatan kurang sihat di Sidang Media Mega Bazar, KL Life Centre pada Rabu lepas.
Enot kemudiannya mula membuka suara kepada media tentang penyakit yang dihidapinya.
“Pada mulanya memang saya ada rasa sakit tetapi saya biarkan saja hinggalah berlaku pendarahan ketika buang air besar. Kemudian saya ada berjumpa doktor dan disahkan mengidap kanser usus.
“Buat masa sekarang, saya masih mendapatkan nasihat doktor tetapi saya mengamalkan ubat-ubatan kampung seperti daun Belalai Gajah selain itu saya ada makan produk jenama ABP26 daripada Didie Alias” katanya.
Enot turut mengakui yang dia tidak menerima tawaran berlakon semenjak setahun yang lalu dan kini hanya bergantung kepada jualan biskut yang dibuat.