Enggan bergambar bersama peminat? Dian Sastrowardoyo tak peduli dilabel sombong

Gempak
Januari 29, 2023 12:40 MYT
Ujar Dian, dia telah melakukan perjanjian dengan anak dan keluarganya untuk tidak melayan peminat termasuk bergambar apabila sedang menghabiskan masa bersama mereka. -Gempak
AKTRES terkenal Indonesia, Dian Sastrowardoyo pernah dilabelkan sombong selepas selebriti tersebut enggan menunaikan permintaan bergambar bersama peminat.
Tidak menafikan hal tersebut, Dian mengaku menolak banyak permintaan peminat untuk bergambar sama kerana satu prinsip.
Ujar Dian, dia telah melakukan perjanjian dengan anak dan keluarganya untuk tidak melayan peminat termasuk bergambar apabila sedang menghabiskan masa bersama mereka.
Kata Dian, perjanjian tersebut dilakukan selepas dia pernah membenarkan dirinya bergambar dengan peminat, namun kehilangan waktu berharga yang mahu dihabiskan bersama keluarga.
“Saya pernah punya pengalaman ya melayan permintaan peminat untuk bergambar. Tapi sesi tersebut tidak berhenti di situ kerana yang lainnya juga meminta (gambar sama).
“Jadi akhirnya makin ramai sehingga ada beratur untuk bergambar.
"Akhirnya saya habiskan waktu cuti hampir 80 peratus melayan peminat,” ujar Dian sewaktu menjadi tetamu dalam YouTube Vindes seperti dilaporkan Kompas.com.
Namun bintang filem "Aruna & Lidahnya" itu mengatakan dia tidak mempunyai masalah untuk bergambar dengan peminat jika dalam keadaan sedang bekerja.
“Kalau sewaktu bersama keluarga misalnya kami keluar ke pusat beli belah, saya tidak akan melayani permintaan apa pun atau siapa pun untuk bergambar.
“Itu janji saya kepada keluarga. Tapi kalau sedang bekerja misalnya lagi promosi atau sesi bertemu peminat, saya akan menunaikan permintaan mereka,” katanya lagi.
Malah Dian mengaku tidak peduli jika dirinya dilabel sombong atau dimarah peminat hanya kerana menolak permintaan mereka.
Bagi Dian, saat tidak bekerja, dia adalah milik anak anaknya.
“Kalau sedang cuti, saya jadi ibu dan tidak akan membiarkan anak anak hanya kerana memenuhi hajat orang lain.
“Jadi kalau nak marah, nak cakap saya sombong, terserah. Kerana saat menjadi ibu, jadi isteri, saya cuba untuk melakukannya sebaik mungkin,” jelasnya lagi. -Gempak
#dilabel sombong #Dian Sastrowardoyo #enggan bergambar bersama peminat #waktu bersama keluarga
;