Enfiniti hidupkan Panggung Bandaraya dengan teater muzikal MUD
Azyyati Ahmad
Jun 12, 2014 20:00 MYT
Jun 12, 2014 20:00 MYT
Syarikat produksi teater terkenal tanahair, Enfiniti Vision Media bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mementaskan teater muzikal bertajuk MUD: Our Story Of Kuala Lumpur (MUDKL) di Panggung Bandaraya.
Setelah lama mati, kerjasama tersebut bertujuan untuk menghidupkan semula Panggung Bandaraya sebagai salah satu destinasi wajib para pelancong ke Malaysia.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib yang hadir merasmikan projek tersebut berkata, pihaknya berbesar hati dengan usaha Enfiniti dalam memajukan Panggung Bandaraya.
“Dengan penambahan pelancong dari dalam dan luar negara ke Kuala Lumpur setiap tahun, kita perlukan sesuatu yang boleh menjadi tarikan pelancong yang dipanggil ‘soul of Kuala Lumpur'.
Panggung Bandaraya adalah lokasi strategik dan wajar dibangunkan agar pelancong yang datang menjadikan panggung ini sebagai lokasi wajib dilawati jika ke Kuala Lumpur” katanya di dalam sidang media yang diadakan selepas acara perasmian MudKL.
“Pihak kami sudah pun memulakan strategi dengan mengadakan promosi kepada agensi pelancongan dan perwakilan di luar negara,” jelas Ahmad Phesal lagi yang turut memberi contoh persembahan kebudayaan sebegitu telah lama diadakan di negara luar seperti persembahan Kecak Dance di Bali dan persembahan Kabuki di Jepun.
MUD merupakan teater muzikal yang menceritakan mengenai kehidupan tiga sahabat Mamat, Meng dan Muthiah berlatarbelakangkan sekitar tahun 1881, iaitu tahun Kuala Lumpur diteroka.
Puan Sri Tiara Jacquelina yang bertindak selaku penerbit berkata, MUDKL adalah simbolik persahabatan, kejayaan dan komitmen dan jalan ceritanya ditulis dekat dengan kehidupan sebenar warga kota.
“Sebelum ini, saya dan rakan-rakan banyak mengkaji sejarah dan budaya negara luar, dan mula tertanya apakah sejarah Kuala Lumpur?
"MUD adalah projek yang bermakna buat saya dan rakan-rakan yang mana idea itu tiba bertepatan dengan visi Datuk Bandar yang mahukan sesuatu yang tradisional di tengah-tengah kemodenan bandar,” jelas Tiara yang turut berkongsi mengenai penglibatan awalnya di dalam bidang teater adalah di Panggung Bandaraya.
Penerbit yang pernah memenangi beberapa anugerah untuk teater Puteri Gunung Ledang dan Muzikal P.Ramlee ini juga mengagumi seni reka bangunan Panggung Bandaraya yang mengingatkan beliau akan bangunan antik di Eropah.
MUD akan dipersembahkan dua sesi setiap hari dan akan dipentaskan sepanjang tahun bermula 7 Julai ini.
Persembahan pembukaan akan diadakan pada 21 Jun ini.
Tiket dijual dengan harga RM60 kepada pelancong dan tempatan RM45.
Untuk maklumat lanjut sila layari www.mudKL.com.my atau laman Facebook dan Twitter MudKL.
#Datin Seri Tiara Jacquelina
#Datuk Ahmad Phesal Talib
#Datuk Bandar Kuala Lumpur
#Mud: Our Story Of Kuala Lumpur (MudKL)
#MudKL
#Presiden Enfiniti Vision Media