Empat selebriti K-Pop sertai latihan ketenteraan
Agensi
Mac 2, 2019 18:37 MYT
Mac 2, 2019 18:37 MYT
Di Korea Selatan, bukan sesuatu yang luar biasa apabila selebriti terkenal turut diwajibkan untuk menjalani latihan ketenteraan.
Terbaru, empat selebriti K-Pop akan menyertai latihan ketenteraan pada Mac ini selama 21 bulan.
Mereka adalah Key (SHINee), N (VIXX), Jeong Jinwoon (2AM) dan Hoon serta Kiseop (U-KISS).
Key akan memulakan latihan ketenteraannya pada 4 Mac dan menjelang hari pendaftrannya nanti, Key akan menghadiahkan penggemarnya sebuah album berjudul ‘I Wanna Be’.
Manakala N yang memasuki usia 30 tahun turut akan mendaftar latihan berkenaan pada tarikh sama dengan Key. N muncul anggota VIXX yang pertama menyertai latihan itu.
Berlainan dengan Jeong Jinwoon, dia menjadi anggota terakhir 2AM menyertai latihan ketenteraan dengan tarikh pendaftaran sama Key dan N.
Pada konsert solonya 24 Februari lalu, Jonwoon sempat mengucapkan selamat tinggal kepada peminat dan meminta para peminat menunggunya sehingga tamat latihan.
Dalam pada itu, Hoon dan Kiseop masing-masing akan mendaftar masuk pada 18 dan 21 Mac.