Elyana bebas kanser, perjuangan 11 tahun berhasil

Gempak
Disember 8, 2021 13:02 MYT
Menerusi laman sosial Instagram, Elyana nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal, 34, memuat naik sekeping foto dan video hasil imbasan badannya bersama doktor untuk tatapan umum.
PENYANYI Elyana berkongsi khabar gembira apabila penyakit kanser limfoma tahap empat yang dihidapinya selama 11 tahun telah hilang.
Menerusi laman sosial Instagram, Elyana nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal, 34, memuat naik sekeping foto dan video hasil imbasan badannya bersama doktor untuk tatapan umum.
Menurut Elyana, dia bersyukur apabila perjuangan dan penantiannya melawan penyakit ini membuahkan hasil.
“Hari ini saya ingin berkongsi rasa gembira dan bersyukur saya dengan anda semua. Perjuangan dan penantian selama 11 tahun saya berhasil!!!! Kanser saya hilang!!!!
“Alhamdulillah Ya Allah, terima kasih Ya Allah, kau telah mendengar doa kami.
“Tak dapat saya gambarkan perasaan gembira saya. Terlalu lama tak dapat rasa gembira ada tubuh yang sihat. I love you Allah,” tulis Elyana di ruangan kapsyen.
Sementara itu di ruangan komen, ramai rakan selebriti dan warga maya meraikan berita gembira tersebut dengan doa dan kata-kata semangat.
Tidak kurang juga ramai yang mahukan pelantun lagu Niat itu terus menjadi inspirasi buat pejuang-pejuang kanser untuk melawan penyakit tersebut.
“Allahuakbar, syukur ya Allah, i'm so happy for you adik,” tulis Datuk Aznil Nawawi.
“Alhamdulillah, berkat doa kak dan semua rakyat Malaysia. Sama-sama doakan kak Elyana sehingga sepenuhnya,” ujar seorang warga maya.
Sehingga kini, perkongsian tersebut telah menerima hampir 21,000 tanda suka daripada pengikutnya.
Sekitar Disember tahun 2020, Elyana memaklumkan kanser itu telah menyerang dan merebak ke beberapa organ badannya seperti rahim, hati dan pangkal paha.
Elyana membuat pendedahan mengenai penyakit kanser limfoma tahap empat selepas tersingkir pada minggu kelima program realiti, Gegar Vaganza musim keempat (GV4) pada 2017.
Artikel asal di Gempak boleh dibaca di sini.
#elyana #Elyana bebas kanser #penyanyi #kanser limfoma
;