Elvis Presley 'hidup semula', bakal jayakan konsert dengan teknik AI

Gempak
Januari 5, 2024 09:40 MYT
Elvis, yang meninggal dunia pada usia 42 tahun pada 1977, telah berjaya menjual lebih 500 juta unit album di seluruh dunia. - Foto Gempak
KECERDASAN Buatan (AI) nampaknya ikut menjadi salah satu budaya dalam industri seni dunia apabila banyak karyawan mengguna pakai teknik tersebut untuk hiburan.
Terkini, legenda yang terkenal dengan gelaran King of Rock and Roll, Elvis Presley akan ‘dihidupkan semula’ dengan kecanggihan teknik AI.
Bukan hanya dihidupkan, Elvis yang meninggal dunia pada 1977 akan mengadakan konsert di Amerika Syarikat tahun ini, lapor Reuters.
Konsert tersebut dinamakan sebagai Elvis Evolution dan akan membawa peminat tegarnya kembali bernostalgia dengan ikon tersebut selain menarik peminat generasi baharu mengenali dengan lebih dekat siapa Elvis Presley.
“Ini akan menjadi sebuah keraian paling gemilang buat Elvis Presley; seorang lelaki, pemuzik dan pemilik legasi yang masih menjadi pujaan ramai.
“Konsert Elvis secara AI akan menjadi sebuah pengalaman yang luar biasa,” ujar Pengasas & Ketua Pegawai Layered Reality, Andrew McGuinness.
Konsert tersebut akan dipersembahkan dengan penggunaan AI sepenuhnya yang dibantu teknik Holografi. Holografi adalah teknik yang membolehkan imej tiga dimensi dibuat.
Peminat juga akan dibawa memasuki dunia Elvis sejak lahir di Tupelo, Mississippi pada 1935, sehingga perjalanan ke Memphis, Tennessee, Graceland dan Las Vegas.
Minat dunia terhadap penyanyi itu, yang diiktiraf sebagai artis muzik solo terlaris sepanjang zaman, dengan lebih 500 juta album terjual, masih tetap kekal walaupun 46 tahun selepas dia meninggal dunia pada usia 42 tahun, di kediaman Graceland miliknya.
#Elvis Presley #AI #konsert #holografi
;