Elly Kasim penyanyi asal lagu Ayam Den Lapeh meninggal dunia
Agensi
Ogos 25, 2021 14:36 MYT
Ogos 25, 2021 14:36 MYT
JAKARTA: Penyanyi legenda Indonesia, Elly Kasim Ali Umar meninggal dunia sekitar pukul 3.48 pagi (waktu tempatan) ini.
Penghibur yang pernah menempa kemashyuran menerusi lagu Ayam Den Lapeh itu menghembuskan nafas terakhir selepas menghadapi masalah pencernaan pada usia 77 tahun.
Lagu Ayam Den Lapeh juga pernah dirakamkan oleh penyanyi terkenal, Anita Sarawak.
Allahyarham Elly Kasim dilahirkan di Sumatera Barat pada 27 September 1944.
Media tempatan melaporkan, berita pemergian artis berdarah Minang itu disahkan oleh ahli keluarga terdekat Allahyarham.
Selain aktif sebagai penyanyi, Allahyarham Elly juga terkenal sebagai perancang perkahwinan khususnya yang berkaitan dengan adat dan budaya Minang di bawah syarikatnya, Elly Kasim Collection.
Sepanjang bergelar penyanyi, Allahyarham Elly pernah menghasilkan hampir 100 album.
Suami beliau yang juga seorang seniman berdarah Minang, Nasif Bazir meninggal dunia pada 2020.