Ellie Suriaty kesal himpunan dibatalkan

Sinar Harian
Julai 17, 2018 15:13 MYT
Ellie Suriaty ketika bercakap dengan pemberita siang tadi. - Sinar Harian
Pelakon Ellie Suriaty Omar melahirkan rasa kesal berhubung pembatalan Himpunan taat setia ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Katanya, himpunan yang sepatutnya diteruskan dari tempat berkumpul di pekarangan parking Bukit Aman ke Parlimen dibatalkan disebabkan arahan pihak tertentu.
Katanya, himpunan itu hanya berniat untuk menyatakan sokongan kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda, bukan berniat lain, oleh itu ia tidak sepatutnya tidak diberi laluan.
"Kita bukan satu golongan yang rasis, orang Melayu ini penuh dengan tatasusila, tapi ini melampau," katanya kepada pemberita dengan penuh bersemangat.
Sebentar tadi, perarakan himpunan taat setia ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, yang dijadualkan bergerak ke Parlimen, dibatalkan oleh penganjur.
Menurut penganjur dan juga merupakan Pemantau Kerajaan Malaysia Baharu, Datuk Lokman Noor Adam, beliau akur dengan arahan polis agar perarakan himpunan tidak diteruskan.
Mengulas lanjut, Ellie berkata beliau akan terus berjuang mengenai nasib bangsa Melayu dan akan meneruskan mempertahankan institusi beraja di Malaysia.
"Saya akan mati, bercerai nyawa dari badan dari tulang sebati dengan tanah tapi bangsa Melayu, raja-raja Melayu jangan cuba kamu jatuhkan dan jadikan negara ini negara Republik," katanya.
#Ellie Suriaty #Himpunan taat setia #Parlimen #Yang di-Pertuan Agong
;