Ellie, Azri bercerai selepas 19 tahun hidup sebagai suami isteri

Saharudin Musthafa
Mei 17, 2022 12:22 MYT
Selepas 19 tahun berkongsi hidup sebagai suami isteri, Ellie Suriaty Omar dan Azri Iskandar menokhtahkan ikatan rumah tangga mereka melalui perceraian. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Selepas 19 tahun berkongsi hidup sebagai suami isteri, pasangan pelakon ternama tanah air, Ellie Suriaty Omar dan Azri Iskandar menokhtahkan ikatan rumah tangga mereka melalui perceraian.
Sekitar pukul 9.34 pagi tadi di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini, dalam suasana penuh sedih dan hiba Azri melafazkan talak satu pada Ellie.
Bercakap kepada Astro AWANI, Ellie secara jujur mengakui, perceraian itu diperoleh atas permintaannya.
Pada Ramadan lalu, aktres berjiwa besar itu nekad mengemukakan perceraian di mahkamah berkenaaan selepas empat tahun dia mengambil masa memikirkan semasak-masaknya.
“Bukan sehari dua keputusan ini saya ambil, sudah empat tahun. Keputusan ini bukan saya buat dalam keadaan marah, kecewa atau secara tergesa-gesa.
“Percayalah, sudah terlalu banyak hal yang saya fikirkan dan pertimbangan yang saya buat sebelum meminta Azri melepaskan saya,” kata Ellie dalam perbualan menerusi telefon sebaik selesai urusan perceraian dia dan Azri di mahkamah.
Dalam nada sangat tenang namun sesekali kedengaran sebak, Ellie, 52, memberitahu, sebelum perceraian difailkan, dia dan Azri sudah duduk berbincang secara matang untuk mencari kata sepakat.
Memahami bahawa dua cahaya mata mereka perlu mendapat perhatian dan kasih sayang tanpa berbelah bahagi, Ellie dan Azri sepakat, biarlah status mereka sebagai suami isteri sahaja digugurkan, namun, kedudukan sebagai ibu dan ayah akan kekal selamanya.
“Saya amat-amat menghormati Azri sebagai seorang lelaki dan sebagai seorang ayah kepada anak-anak kami. Dia begitu matang mengendalikan kemelut rumah tangga kami dan Alhamdulillah, perceraian antara kami berlangsung dalam suasana yang sangat murni tanpa sebarang masalah.
“Janji kami, yang berpisah adalah kami berdua, namun, anak-anak akan terus mendapat perhatian dan kasih sayang. Kami sepakat anak-anak tidak boleh menjadi mangsa perceraian,” kata Ellie berkongsi kesepakatan yang dicapai dengan Azri, 54.
Perkahwinan yang dibina pada 2003 antara Ellie dan Azri menghadirkan mereka sepasang cahaya mata Azrell Omar Azri Iskandar, 18 dan Nur Azreen, 13 serta dua lagi yang telah meninggal dunia sebelum sempat dilahirkan.
#Ellie Suriaty Omar #Azri Iskandar #Ellie Azri bercerai #Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur
;