Ella bawa kembali era rock 90-an, pukau 5,000 penonton di Sabah
Sinar Harian
Januari 28, 2024 13:30 MYT
Januari 28, 2024 13:30 MYT
KONSERT 'Jilid Akhir: Ella Puteri Kota' yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di Kota Kinabalu baru-baru ini berjaya membawa semula memori era rock tahun 90-an sebahagian besar penonton yang hadir.
Lagu berjudul Risau dan Ala Amerika daripada album dirakam di luar negara itu berjaya memukau kira-kira 5,000 penonton yang hadir menyaksikan konsert Ratu Rock negara itu.
Pembukaan tirai konsert pemilik nama sebenar Nor Zila Aminudin diteruskan menerusi lagu Belenggu daripada album Dua Insan Bercinta, lagu Kesal (album Kesal) dan Tiada Tangis Lagi (album Puteri Kota) yang diterbitkan pada awal tahun 90-an.
Ella pada konsert itu sempat meluahkan rasa tersentuhnya apabila menerima sambutan begitu istimewa daripada peminat yang bukan saja datang dari negeri di bawah bayu sendiri tetapi juga dari Sarawak, Semenanjung dan Brunei Darussalam.
"Terima kasih 'urang' Sabah atas sokongan yang tidak terhingga. Saya berharap semua yang hadir ke konsert malam ini dapat jadikan ini suatu memori yang tidak dapat dilupakan," katanya.
Meneruskan persembahan, beberapa lagu hits turut dipersembahkan termasuk Retak, Tinggal Tanda Tanya, Pengemis Cinta, Sembilu dan Pedih.
Selain itu, penonton turut disajikan dengan lagu popular Ella seperti Sepi Sekuntum Mawar Merah, Berlayar Tak Bertepian, Layar Impian, Penawar, Simbiosis, Standing In The Eyes Of The World dan beberapa lagu lain.
Ella dalam pada itu sempat mengimbau semula detik perkenalannya bersama suami dengan menampil Azhar Ghazali untuk berkongsi pentas di pertengahan konsert menerusi dua lagunya Peace Love Rindu dan Mendung Tak Bererti yang dinyanyikan secara duet.
"Kota Kinabalu begitu istimewa dan dekat di hati saya kerana di sinilah lokasinya saya dan suami mula berkenalan sewaktu mula-mula bercinta dahulu dan menjadi memori terindah kami," katanya.
Azhar yang langsung tidak kekok menyanyi di hadapan ribuan penonton sempat mengusik isterinya yang begitu teruja dengan konsert tersebut kerana Kota Kinabalu adalah kota tempat mereka bercinta.
"Ella punya suka dengan KK (Kota Kinabalu). Yalah kan, tempat bermain lagi dikenang inikan pula lagi tempat bercinta," usiknya ketika di atas pentas.
Mengakhiri persembahan, peminat menyeru nama Ella supaya kembali semula ke pentas dengan laungan 'we want more' sebelum penyanyi berusia 56 tahun itu muncul memberikan 'lontaran' terakhir menerusi lagu Gemilang.
Konsert berlangsung selama lebih dua jam dengan hampir 30 lagu itu dikendalikan oleh pengarah muzik tersohor, Datuk Acis atau nama sebenarnya Hashridz Murshim Hassim.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian