Elite tersingkir di minggu ketiga Gegar Vaganza 5

Madiha Abdullah
Oktober 14, 2018 00:00 MYT
Elite yang menyanyikan lagu nyanyian asal Melly Goeslaw berjudul 'Ku Bahagia', mendapat markah terendah daripada juri profesional.
Selepas berjaya bertahan selama tiga minggu, Elite menjadi peserta kedua tersingkir pada konsert minggu ketiga Gegar Vaganza musim kelima (GV5) yang berlangsung di Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) malam Ahad.
Pada konsert berkenaan, Elite yang menyanyikan lagu nyanyian asal Melly Goeslaw berjudul 'Ku Bahagia', mendapat markah terendah daripada juri profesional.
Gegar Vaganza musim kelima menampilkan Datuk Ramli MS dan Datuk Khatijah Ibrahim sebagai juri tetap manakala Datuk Nash tampil sebagai juri jemputan.
Kesemua peserta diadili 100 peratus menerusi pemarkahan daripada barisan juri.
Juara Gegar Vaganza musim kelima bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 berserta trofi manakala RM50,000 untuk naib juara dan RM30,000 bagi tempat ketiga.
Tempat keempat, kelima dan keenam pula masing-masing bakal membawa pulang wang tunai sebanyak RM30,000, RM20,000, RM15,000 dan RM10,000 beserta trofi.
GV5 disiarkan secara langsung di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123).
#ELITE #Gegar Vaganza #juri #konsert #Ku Bahagia #Lagu #markah #Melly Goeslaw
;