Elemen kekeluargaan jadi inspirasi iklan Raya MyTeksi

Shamil Hizamie
Julai 2, 2015 13:27 MYT
Iklan Raya MyTeksi menampilkan elemen kekeluargaan dan ikatan silaturahim sebagai latar ceritanya.
Lazimnya seorang pemandu teksi bekerja dalam syif yang panjang yakni sekitar 12 hingga 16 jam sehari. Ada diantara mereka yang bekerja sehingga 7 hari seminggu.
Tempoh masa kerja yang panjang membuatkan sebahagian daripada mereka tidak berpeluang untuk menghabiskan masa bersama keluarga. Malah ada juga yang duduk berjauhan.
Kekangan masa itu dijadikan inspirasi MyTeksi bagi iklan komersil Hari Raya Aidilfitri syarikat tersebut.
Iklan Raya MyTeksi menampilkan elemen kekeluargaan dan ikatan silaturahim sebagai latar ceritanya.
Tiga pemandu teksi yang dikenali sebagai Muszaidi, Hajar dan Jauriah dipanggil untuk berjumpa ‘VIP’. Namun mereka sebenarnya dibawa berjumpa keluarga masing-masing yang sedang menunggu di bilik berlainan.
Kejutan itu diiringi perasaan terharu dan bersyukur lantaran diberikan berpeluang berjumpa dengan kaum keluarga.
Pengurusan MyTeksi turut memberi kelonggaran dan hari cuti kepada tiga pemandu tersebut supaya mereka boleh menghabiskan masa bersama keluarga.
Rasa terharu bercampur perasaan gembira dan syukur jelas terpancar di wajah ketiga-tiga pemandu teksi bertuah itu kerana seharian dapat bersama yang tersayang.
Iklan Raya itu dimuat naik di laman Facebook MyTeksi pada 30 Jun lalu dan sehingga artikel ditulis memperoleh 400 perkongsian dan lebih 3,000 likes.
Iklan tersebut mendapat reaksi yang positif daripada pengguna Facebook. Rata-rata pengguna tersentuh dengan usaha MyTeksi menyatukan ketiga-tiga pemandu teksi terbabit dan keluarga mereka.
Merubah sistem industri pengangkutan awam, MyTeksi menggunakan teknologi telefon pintar untuk menghubungkan para pelanggan kepada pemandu teksi.
Aplikasi MyTeksi boleh dimuat turun menerusi App Store, Google Play dan Blackberry.
#Hari Raya Aidilfitri #iklan #keluarga #myteksi
;