Elak jumpa cucu, Ramona Zamzam dedah emosi bapa mentua terganggu sejak perang di Gaza
Media Hiburan
Oktober 19, 2023 17:36 MYT
Oktober 19, 2023 17:36 MYT
PELAKON Ramona Zamzam berkongsi mengenai keluhan anak perempuannya, Ivanna yang sedih kerana tidak dapat meluangkan masa dengan datuk sendiri meskipun tinggal serumah.
Menurut Ramona, anaknya berasa hairan susulan tindakan datuknya yang berasal daripada Gaza, Palestin itu yang kebelakangan ini memerlukan masa bersendirian.
“Anak perempuan saya datang kepada saya sebentar tadi dan bagitahu yang dia nak luang lebih banyak masa dengan ‘seedo’ (panggilan atuk dalam bahasa Arab).
“Dia pergi dan beberapa minit kemudian, dia datang dan bagitahu yang seedo tak nak luangkan masa dengannya kerana katanya dia mengantuk.
“Saya kata, biarlah seedo tidur. Dia mungkin penat. Nanum, anak saya pelik sebab seedo sentiasa penat dan nak tidur,” tulisnya.
Tambah Ramona, bapa mentuanya itu difahamkan sengaja mengelak untuk meluangkan masa dengan cucunya kerana mahu memberikan sepenuh tumpuan terhadap keganasan yang berlaku di Palestin saat ini.
“Rupa-rupanya bapa mentua saya memang mengelak untuk bermain dengan Ivanna. Tidak lama selepas itu, bapa mentua bagitahu yang dia terpaksa berbohong.
“Dia sebenarnya sedang menonton berita mengenai konflik di Palestin dan dia tidak mahu Ivanna melihat video-video pembunuhan yang boleh mengganggu fikirannya.
“Sejujurnya, fikiran kami sangat terganggu sejak beberapa minggu ini. Anak kecil saya tidak tahu apa-apa.
“Kalaulah anak saya tahu yang kedua-dua atuk dan neneknya berasal daripada Gaza dan mereka sangat terpukul menonton laporan berita hari-hari,” ujarnya lagi.
Kisah itu dikongsikan sendiri oleh bintang kelahiran, Dewi Remaja 2009/10 itu menerusi hantaran terkini di Instagram.
Katanya lagi, dia kini sedang berusaha untuk memberikan sokongan moral buat keluarganya yang terkesan dengan musibah yang berlaku di negara kelahiran mereka.
“Ia merupakan tanggungjawab saya untuk menjaga keluarga Palestin saya dan pastikan mereka berasa selamat.
“Saya akui ada beberapa kali saya pernah putus harapan kerana ini bukan kali pertama hal seperti ini berlaku sejak saya mendirikan rumah tangga sembilan tahun lalu,” kongsinya lagi.
Sementara itu, Ramona turut merakamkan ucapan penghargaan buat semua pihak yang mengambil berat tentang dirinya dan keluarga.
“Saya berdoa agar pembunuhan beramai-ramai ini akan berhenti.
"Saya juga berharap agar satu hari nanti, anak saya akan membesar dan memahami asal usulnya serta tahu apa yang dunia telah lakukan kepada Palestin.
“Kepada rakan-rakan yang menghantarkan mesej dan bertanya tengang Rami dan keluarga, ia sangat bermakna buat kami,” akhirinya.
Ramona telah mendirikan rumah tangga bersama suami, Rami Alashkar pada tanggal 1 Mei 2015.
Hasil perkongsian hidup tersebut, pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Ivanna Alashkar. -Media Hiburan